Pandang serius kemerosotan kedudukan Malaysia dalam CPI
KUALA LUMPUR - Kedudukan negara merosot enam anak tangga pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2020 adalah perkara serius yang membimbangkan dan memerlukan renungan secara mendalam.
Ahli Institut Integriti Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Malaysia memperoleh 51 daripada 100 mata untuk CPI pada 2020 berbanding 57 mata pada tahun sebelumnya dan hakikatnya Malaysia telah jatuh enam mata adalah perkara yang tidak boleh diambil mudah.
“Sebaliknya kita tidak boleh leka dalam usaha memerangi rasuah di mana, bila dan bagaimana sekalipun ia berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Lam Thye berkata, langkah-langkah bersepadu dapat diambil untuk mengurangkan gejala tersebut melalui penguatkuasaan ketat undang-undang yang sedia ada dan menerusi pendidikan awam.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipuji atas tindakan pantas dalam kes di mana terdapat bukti mengenai amalan rasuah di sektor awam dan swasta serta berjaya mendapatkan sabitan dalam beberapa kes berprofil tinggi.
Lam Thye berkata, usaha perangi rasuah perlu diperhebatkan dan ia memerlukan usaha teliti, komitmen, iltizam politik dan kecendurungan untuk meneruskan usaha walaupun ada godaan.
“Ia adalah pendekatan serampang dua mata - mendakwa mereka yang disyaki meminta dan menerima habuan untuk sesuatu perkara yang dilaksanakan serta mendidik rakyat supaya beretika, memelihara integriti dan nilai-nilai lain yang membenci perbuatan rasuah,” katanya.
Lam Thye berkata, kempen kesedaran mengenai rasuah perlu dimulakan seawal peringkat sekolah dengan menekankan kepada nilai amanah dan integriti dalam masyarakat, institusi dan amalan sihat.
Menurutnya, semakan semula undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 adalah antara usaha yang dicadangkan bagi mengurangkan amalan rasuah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!