Ebit Lew pilu misi bantuan terpaksa dihentikan
SEMPORNA - "Sayu hati. Saya minta maaf kepada penduduk di pulau-pulau di Semporna yang saya Islamkan. Saya tidak dapat lagi meneruskan misi bantuan."
Demikian luahan sebak pendakwah terkenal Ebit Lew selepas misi bantuan membina tiga buah sekolah terpaksa ditangguhkan susulan beliau tidak dibenarkan kembali ke pulau-pulau di Semporna termasuk bantuan perlu dihentikan.
Tindakan itu menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tiga tahun.
"Saya minta maaf. Saya terpaksa menangguhkan pembinaan sekolah kecil atau pusat kegunaan masyarakat setempat yang saya rancang. Bukan sekolah saya. Tiada caj.
"Lebih kepada tempat nak aktiviti dan pendidikan sebab dekat sana tiada tempat untuk buat begitu. Dari bot je bagi bantuan. Saya sudah beli kayu-kayu. Saya sudah kumpul tujuh orang guru.
"Semangat mereka nak mendidik dan menjadi sumber pendapatan mereka. Saya minta maaf ya ustaz ustazah semua," luahnya yang dikongsi di akaun Facebook peribadi hingga meruntun jiwa warga maya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Syukur, 490 penduduk Bajau Laut peluk Islam'
Ebit Lew sebak satu kampung jadi saudara baharu
Pada hantaran sama, beliau juga memaklumkan ramai yang terkesan apabila misi bantuan itu terpaksa dihentikan malah ada yang menitiskan air mata.
"Tadi ramai menangis sedih termasuk anggota yang patutnya bawa kami ke pulau-pulau. Saya terharu sifat baik dan kasih sayang orang Sabah. Macam keluarga sendiri.
"Sayang semua seperti mereka sayang saya. Saya sayang semua. Saya maafkan semua. Saya tidak berkecil hati perjuangan tetap diteruskan," tambahnya.
Walaupun terpaksa menangguhkan bantuan kepada penduduk Bajau Laut di Semporna, beliau terus kuat meneruskan sumbangan ke Tawau seperti yang dijanjikan.
"Saya akan terus ke Tawau dan tunggu flight (penerbangan) di Tawau. Sempurna sumbangan sedikit tempat di Tawau yang saya janji.
"Terima kasih semua. Sehingga berjumpa lagi jika ditakdirkan ALLAH. Saya serahkan segala urusan kepada ALLAH. Cukuplah kepada ALLAH orang mukmin itu berserah," katanya.
Menjengah di ruang komen, ramai warga maya sedih dan kecewa menerima berita berkenaan.
"Kami turut bersedih dengan apa yang berlaku... kita memang tiada upaya selain berdoa moga ALLAH tetapkan hati-hati yang telah memilih Islam sebagai akidah mereka.
"Ustaz dan ustazah yang ada di sana, mudahan ALLAH permudah urusan dakwah itu," kata Hamiza Hamat.
Bagi Nkayy Ariffin, Ebit Lew telah melakukan terbaik untuk membantu penduduk Bajau Laut dan berharap beliau tabah menghadapinya.
Shoffindey Ambri bersetuju pelaksanaan sekatan dikenakan ke atas misi bantuan Covid-19 itu.
"Saya orang Sabah juga sebab itu saya tidak salahkan sekatan yang dikenakan ke atas bantuan Ustaz Ebit Lew kerana dari sudut kemanusiaan benar mereka perlukan bantuan.
"Tetapi dari sudut perundangan dan keselamatan juga perlu dipertimbangkan," katanya.
Sebelum ini, Ebit Lew memaklumkan akan membina tiga buah sekolah di Semporna dalam usaha membantu penduduk Bajau Laut menimba ilmu selain mengajikan beberapa ustaz dan ustazah untuk membimbing 490 individu telah memeluk Islam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!