Harga makanan ikan naik
TEMERLOH - Kenaikan harga palet makanan ikan menyebabkan pengusaha sangkar ikan patin di daerah ini terpaksa menaikkan harga jualan bermula minggu ini.
Situasi itu dihadapi selepas beberapa tahun pengusaha sangkar ikan menanggung kos apabila satu beg palet seberat 20 kilogram yang berharga sekitar RM60 (berbeza mengikut jenama) kini naik sebanyak RM3 bermula Isnin.
Difahamkan, harga runcit ikan patin mentah yang dijual di sini juga meningkat kepada RM18 atau RM19 sekilogram berbanding RM17 beberapa tahun lalu, malah harga borong juga dilaporkan meningkat.
Pengusaha sangkar ikan, Mohd Saifullah Rosdi, 25, di Kampung Buntut Pulau di sini berkata, ikan patin di gerainya dijual dengan harga RM17 sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, dia mungkin terpaksa menaikkan harga ikan patin sebanyak RM2 per kilogram disebabkan tidak dapat menanggung kos kenaikan palet.
“Saya berharap pelanggan memahami situasi yang terpaksa dihadapi pengusaha selepas beberapa kali kenaikan harga palet sebelum ini,” katanya.
Seorang lagi pengusaha ikan patin, Manisah Mat Sam, 52 dari Jalan Songsang di sini juga mengakui dia terpaksa menaikkan harga runcit ikan patin yang dijual di gerainya.
Mula mengusahakan sangkar ikan patin sejak 12 tahun lalu, dia menyifatkan kenaikan palet kali ini memberikan kesan ketara terhadap perniagaan mereka.
“Mungkin saya terpaksa jual RM18 per kilogram dalam tempoh terdekat. Kalau ikutkan kasihan kepada pembeli tetapi kenaikan kos sekarang tidak dapat ditanggung lagi,” katanya.
Sementara itu, pengusaha Restoran Gobang Maju Patin Temerloh, Muhamad Rizal Muhamad Rosely,42, mengakui pengusaha restoran sepertinya kini dalam dilema dengan situasi tersebut.
Katanya, pengusaha restoran sepertinya juga mungkin terpaksa menaikkan harga juadah ikan patin di restorannya.
Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh, Zakaria Alias berkata, kenaikan harga palet adalah disebabkan pengeluar menaikkan harga.
“Bermula minggu ini, harga palet pelbagai jenama meningkat sekitar RM3 satu beg dan kita terpaksa berdepan dengan situasi ini,” katanya.
Exco Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak bagaimanapun berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dalam isu kenaikan palet tersebut kerana ia bukan dalam senarai harga barang kawalan.
“Cuma kita berharap pihak pengusaha telus dan tidak mengambil kesempatan dengan situasi ini kerana ada segelintir yang kurang bertanggungjawab menjual ikan dari kolam, tetapi mengenakan harga seperti ikan sangkar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!