Bapa tiri tendang, tumbuk perut gara-gara tidak tahu guna tandas
SINGAPURA - Seorang lelaki di Singapura dibicarakan pada Selasa atas tuduhan membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun gara-gara mangsa membuang air kecil di luar mangkuk tandas.
Muhammad Salihin Ismail, 28, didakwa menendang perut mangsa yang berusia empat tahun beberapa kali pada September 2018 hingga menyebabkan kematiannya.
Perbuatan tidak berperikemanusiaan tertuduh telah menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami pendarahan dalam perut.
Timbalan Pendakwa Raya Awam, Senthilkumaran Sabapathy dan Lim Yu Hui berkata, Salihin mengahwini ibu mangsa, Syabillan Syamien Riyadi pada Ogos 2016 ketika dia berusia dua tahun dan turut memanggilnya 'papa'.
Pasangan itu kemudiannya dikurniakan sepasang anak kembar lelaki dan tinggal di sebuah rumah flat.
Mereka mula mengajar mangsa menggunakan tandas sebagai persediaan untuk ke sekolah pada akhir September 2018.
Pada 1 September 2018, Syabilla meninggalkan Salihin bersama mangsa dan anak kembar mereka.
Menurut kes pendakwaan itu, Salihin berang apabila melihat tompokan urin di luar mangkuk tandas dan memarahi serta menumbuk perut mangsa beberapa kali.
Tidak lama selepas itu, anak tirinya memberitahu mahu ke tandas dan Salihin menyuruhnya pergi sendiri.
Tertuduh sekali lagi menemui tompokan urin di atas lantai dan naik angin hingga menolak mangsa ke lantai serta menendang dan menumbuk perutnya beberapa kali tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu.
Menjelang malam, mangsa mengadu sakit perut pada ibunya dan turut muntah di atas sofa.
Keadaan itu berterusan sehingga keesokan harinya dan Salihin dipercayai menjolok tekak mangsa dengan jari telunjuk apabila dia mengalami kesukaran untuk muntah.
Kanak-kanak itu akhirnya muntah dan jatuh pengsan.
Sejurus anggota paramedik tiba pada jam 9.17 pagi pada 2 September 2018, mereka mendapati kanak-kanak itu sudah tidak lagi bernafas dan nadinya terhenti.
Mereka turut menemui kesan lebam pada muka mangsa dan ibunya hanya mampu menangis.
Mangsa dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada jam 10.12 pagi hari sama.
Pihak hospital kemudiannya melaporkan kematian mangsa kepada polis dan Salihin ditahan pada keesokan harinya.
Menerusi kenyataan pada 3 September 2018, Salihan mengakui dia sengaja menyasarkan perut anak tirinya kerana mahu 'memberi pengajaran' kerana mengalami masalah untuk membuang air kecil dengan betul.
Perbicaraan akan bersambung semula pada Rabu dan pihak pendakwaan dijangka mengemukakan bukti daripada 58 saksi.
Jika disabit bersalah, Salihin bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!