Khutbah dan rasuah
AWANG setuju sangat pihak yang bertanggungjawab keluarkan khutbah Jumaat lihat semula ‘kandungan’ khutbah setiap minggu.
Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian dalam dialog di Facebook tegur kualiti khutbah setiap Jumaat.
Awang setuju sangat dengan pandangan beliau. Selama berpuluh minggu setahun, khutbah ditumpukan hanya untuk ingatkan umat Islam supaya bertakwa dan takutkan balasan hari akhirat.
Apabila keluar masjid, selipar pun dicuri orang.
Patutnya khutbah kuatkan semangat umat Islam, cakap pasal keperluan kejar ilmu, bersaing dengan orang lain, jadi Muslim yang berjaya dunia dan akhirat.
Khutbah Jumaat juga patut ingatkan kisah kejayaan umat Islam dalam bidang sains, perubatan dan ekonomi suatu masa dulu.
Awang jarang dengar khutbah yang takutkan umat Islam akan bahaya najis dadah atau musibah rasuah.
Tak pernah ada khutbah yang ingatkan umat Islam jangan dewa-dewakan perasuah dan jangan jadikan perasuah pemimpin kita.
Baguslah nampaknya ada mufti yang kata akan mula gunakan khutbah untuk tanamkan nilai moral yang baik. Penceramah agama pun kenalah main peranan.
Soal amal makruf nahi mungkar nampaknya ditumpukan hanya pada kes tangkap orang berkhalwat.
Di Malaysia yang ditangkap khalwat lebih dimalukan daripada mereka yang didakwa atau didapati bersalah dalam kes rasuah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!