Mari memilih santapan minda

A
A
A

ALHAMDULILLAH. Semalam saya telah mendapat Surat Pelepasan Isolasi Untuk Kes Positif Covid-19! Bagi yang belum tahu, ia adalah surat yang mengesahkan bahawa saya bebas daripada penyakit itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya sudah melepasi 12 hari kuarantin kendiri. Namun, mengikut kiraan sendiri, saya sudah berkuarantin di rumah lebih 17 hari.

Tak apalah. Lagi lama berkuarantin, lagi lama boleh 'berqurantime’.

Secara klinikalnya, virus di dalam tubuh saya sudah tidak boleh merebak kepada orang lain. Ia bermakna saya bebas melakukan aktiviti seperti orang biasa. Inilah demam paling lama dan paling renyah pernah saya alami.

Setiap hari apabila ia menyerang, tubuh terasa bisa dan tidur terganggu. Bila ia pergi, saya berasa sihat seperti tiada apa-apa.

Mujurlah bahan-bahan bacaan termasuk maklumat di MySejahtera banyak membantu saya untuk mengharungi 10 hari kuarantin dengan tabah dan sabar.

Walau apa pun, situasi getir itu dapat diharungi dengan baik. Namun, ia bergantung kepada bagaimana saya ingin melihatnya. ALLAH SWT berfirman dalam hadis Qudsi: “Aku menurut seperti sangkaan hamba-Ku...”

Tanpa mengetepikan ketetapan ALLAH, tanpa menafikan kekuatan doa yang dapat mengubah takdir, banyak tafsiran hadis itu menjurus kepada maksud jika kita melihat daripada kaca mata baik, maka jadilah baik.

Artikel Berkaitan:

Andai sebaliknya, maka jadilah begitu pula. Positif memohon kepada ALLAH dan insya-ALLAH, Dia akan kabulkan doa itu.

Meskipun terdapat maklumat mengatakan mereka di usia warga emas yang mempunyai penyakit kronik iaitu diabetes dan hipertensi adalah tergolong dalam kalangan berisiko tinggi, saya tidak mendengar, menonton dan membaca sangat bahan-bahan itu.

Saya tahu sekiranya saya mencari maklumat sebegitu, ia akan menggusarkan saya kerana saya adalah warga emas yang menghidap diabetes dan hipertensi.

Justeru, saya ubah santapan minda dengan menonton video ceramah agama, kuliah motivasi, penulisan, mendengar bacaan al-Quran dan tidak ketinggalan video Badminton World Tour Finals yang baru berlangsung di Bangkok, Thailand. Sukan badminton adalah kegemaran saya sejak remaja. Tontonan itu menggembirakan saya.

Fikiran

Suka atau benci, gembira mahupun sedih adalah kondisi fikiran yang boleh kita ubah-ubah seperti kita mengubah stesen televisyen.

Contohnya, ramai wanita yang ceria mempunyai waktu sedih selama sejam setiap hari apabila membuka siri drama kegemaran. Setelah sejam, mereka tutup TV dan gembira kembali.

Dahulu, ketika anak-anak saya takut menonton cerita hantu, saya tak perlu berkata bahawa itu adalah cerita. Sebaliknya, saya tutup TV dan imej-imej hantu di kaca TV terus ghaib.

Waktu itulah saya berikan kuliah pendek bahawa apa yang ditonton adalah cerita dan tak perlu berasa takut.

Kemudian, saya buka TV dan tukar pula ke saluran kartun. Saya katakan yang hantu sudah jadi kartun dan mereka ketawa tak takut lagi.

Dunia skrin sama ada di kaca televisyen, skrin komputer mahupun di skrin telefon amat mempengaruhi fikiran dan seterusnya perilaku kita.

Apa yang kita gemari itulah dunia kita. Jika siang malam kita asyik menatap berita Covid-19, kita berasakan dunia ini telah ditakluki virus itu.

Alihkan tumpuan skrin-skrin di sekeliling kita dengan hal-hal dunia, alam dan manusia, maka kita akan rasa dunia ini nyaman dan hidup.

Covid-19 masih ada tetapi biarlah cerita muncul sendiri. Jika ada kes besar, tentulah beritanya akan sampai juga ke pancaindera kita.

Tatkala itu, barulah kita menghadam maklumat dan menilai apakah tindakan yang kita perlu lakukan untuk survival. Begitu juga dengan cerita orang politik.

Mereka jadi orang kecil jika kita mengalihkan tumpuan kita daripada mereka.

Besarkan sahaja ALLAH kerana memang Dia yang selayaknya besar. Sibukkan sahaja dengan ibadah kerana itulah juga yang ALLAH besarkan sebagai tugas kita. Itulah santapan minda pilihan yang selayaknya.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!