ADUN bantu lapan penduduk bayar kompaun ingkar PKP

Peter (dua dari kanan) bertemu penduduk Kampung Angalor yang dikenakan kompaun selepas melanggar SOP ketika ke Pekan Tenom.
Peter (dua dari kanan) bertemu penduduk Kampung Angalor yang dikenakan kompaun selepas melanggar SOP ketika ke Pekan Tenom.
A
A
A

TENOM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony tampil membantu membayar kompaun yang dikenakan kepada lapan penduduk Kampung Angalor pada 27 Januari lalu.

Perkara itu dikongsi beliau melalui Facebooknya pada Selasa selepas tular di media sosial berhubung kejadian yang menimpa penduduk berkenaan.

"Seperti yang dijelaskan oleh penduduk yang terlibat, kompaun RM1,000 itu berpunca akibat melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Saya difahamkan mereka terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa turun ke Pekan Tenom untuk membeli bekalan makanan dan ubat-ubatan," katanya.

Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, atas nilai kemanusiaan beliau tampil membantu penduduk terbabit.

"Saya rasa terpanggil untuk membantu mereka untuk membayar kompaun tersebut kerana saya memahami situasi dan keadaan penduduk kampung yang tinggal jauh dari kawasan pekan.

"Malah ada di antara mereka yang tidak mempunyai akses internet dan televisyen untuk mengikuti perkembangan semasa terutamanya yang berkaitan dengan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu juga menasihatkan penduduk terbabit supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini (semalam) saya sempat pergi ke bank dan terus bergegas ke Hospital Tenom untuk membantu melangsaikan kompaun tersebut.

"Saya sempat menasihati mereka agar sentiasa mematuhi SOP pada masa akan datang. Semoga pertolongan kecil ini akan meringankan beban penduduk yang terlibat.

"Apa pun syukur semuanya sudah selesai dan saya sempat membungkuskan makanan kepada mereka sebelum mereka pulang. Semoga kejadian ini akan memberi iktibar kepada kita semua agar sentiasa mematuhi SOP dan saling mengambil berat antara satu sama lain," katanya.

Beliau turut meminta supaya semua pihak bersama-sama melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 agar kehidupan pulih seperti sediakala.

Terdahulu, lapan penduduk termasuk seorang pemandu dikompaun oleh polis selepas didapati melanggar SOP menaiki kenderaan melebihi had kapasiti yang ditetapkan ketika PKP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!