SPAN siasat penemuan tong berisi bahan pelarut
CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menjalankan siasatan ke atas sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Seri Reko berhampiran tepi Sungai Langat susulan penemuan tong berisi bahan sisa berjadual pada Selasa.
Menerusi satu kenyataan dikeluarkan pada Rabu, SPAN memaklumkan dalam siasatan dilakukan, agensi itu menemui 13 tong berkapasiti 160 liter dan enam tong berkapasiti 5 liter berisi bahan buangan berjadual (bahan pelarut) yang tidak diuruskan dengan baik.
Menurut kenyataan itu, bahan terbabit berpotensi mencemar sumber air dan mengganggu bekalan air bersih kepada pengguna.
"Bertindak berdasarkan maklumat diterima daripada Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), anggota penguat kuasa telah menjalankan siasatan ke atas sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Seri Reko pada Selasa.
"Hasil siasatan menemui tong berisi bahan buangan yang berpotensi menjadi punca pencemaran sungai," katanya.
Menurut kenyataan itu, sekiranya pencemaran berlaku, pemilik premis boleh disiasat di bawah Seksyen 121 (1) (C) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, premis diperiksa yang didirikan di tanah rizab sungai tersebut disyaki beroperasi tanpa lesen sah dan sedang dalam siasatan pihak MPKj.
"Sebagai langkah mitigasi, operator air iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menugaskan unit pemantauan mereka untuk sebarang kemungkinan.
"Selain SPAN, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga dalam proses siasatan lanjut memandangkan penemuan melibatkan bahan buangan berjadual.
"Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan isu ini tidak akan menyebabkan pencemaran terhadap sumber air," katanya.
SPAN dalam pada itu memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes yang disyaki melakukan pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 0383179333 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.
Terdahulu, kesemua tong terbabit dilaporkan ditemui di tepi Sungai Langat berhampiran Taman Sri Reko, di sini malam Selasa.
Satu daripada tong berkenaan dilaporkan ditemui dalam keadaan terbuka.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menjalankan pemeriksaan mendapati bahan kimia itu tumpah dalam kuantiti sikit dan tidak membahayakan alam sekitar serta nyawa manusia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!