UTM beri motivasi, bantu pelaksanaan PdPR
JOHOR BAHRU - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Program Bicara Guru dalam usaha menjayakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedang dilaksanakan ketika ini.
UTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mengadakan program itu secara maya bertujuan memberikan motivasi dalam menyemai pemuafakatan antara guru-guru dan ibu bapa.
Program yang pertama kali diadakan itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila mendapat lebih 50,000 tontonan, dikongsi sebanyak lebih 1,000 kali dan mendapat sehingga lebih 5,000 komen.
Pengarah Pusat Akademik dan Pengalaman Pembelajaran (CAEL) UTM, Profesor Dr Intan Zaurah Mat Darus berkata, tujuan lain program itu adalah untuk menyelesaikan masalah komuniti sasaran bertepatan dengan normal baharu ekoran pandemik Covid-19.
"Program ini yang disiarkan dalam Facebook rasmi JPNJ dirasmikan Pengarah JPNJ, Shaharuddin Saari diharap dapat memberi peluang terutama kepada para guru dalam mendepani cabaran mendidik pada ketika ini.
"Selain itu juga, komitmen bersama dan peranan ibu bapa bagi membimbing pelajar supaya terus bersemangat meneruskan pembelajaran perlu dipupuk," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sesi Bicara Guru itu turut menampilkan moderator berpengalaman iaitu Cikgu Noorjahan Sultan yang merupakan Finalis 50 Anugerah Guru Global 2016 dan Ikon Guru Malaysia 2016.
Turut tampil dalam forum tersebut dua panel jemputan iaitu Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib yang merupakan Finalis Top 50 bagi Anugerah Guru Berprestij, Global Teacher Prize 2020 dan Azizurahman Samian, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Psikologi dan Kaunseling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga Kaunselor Selebriti.
Sementara itu, Shaharuddin berkata, program itu adalah satu inisiatif untuk menyantuni keperluan guru yang mungkin sedang mengalami tekanan dalam menguruskan pembelajaran secara dalam talian.
"Menerusi program ini, peserta juga didedahkan dengan pelbagai teknik terutama bagi membantu ibu bapa melancarkan proses PdPR anak-anak di rumah.
"Di samping itu, ia juga dapat membantu meningkatkan komunikasi yang lebih berkesan, selain perkongsian dalam menguruskan konflik antara guru dengan ibu bapa mahupun bersama pelajar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!