Misi Kembara Dakwah bantu pesakit Covid-19, frontliners
KOTA BHARU - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Misi Kembara Dakwah (MKD) mengambil inisiatif membantu pesakit Covid-19 dan kumpulan terjejas akibat pandemik serta barisan hadapan (frontliners) di Kelantan dengan cara tersendiri.
Pengurus MKD, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, terbaharu NGO tersebut menyediakan 100 telekung untuk solat secara percuma kepada pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu dan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan.
Menurutnya, inisiatif tersebut berdasarkan pengalaman NGO itu sendiri yang mendapati kebanyakan pesakit Covid-19 tertinggal telekung kerana tergesa-gesa untuk dihantar ke PKRC dan mereka tidak boleh bergilir dengan orang lain menggunakan pakaian ibadah itu di pusat tersebut untuk mengelak jangkitan.
"Selain itu, hasil sumbangan dana orang ramai, MKD membantu frontliners di hospital dengan menyediakan set kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE) dan face sheild sejak awal pandemik Covid-19 melanda negara.
"Kerja amal ini bukan sahaja membantu pesakit Covid-19 dan frontliners bahkan secara tidak langsung menolong ibu tunggal yang menjadi tukang jahit untuk menyiapkan PPE, telekung solat serta menyiapkan face sheild," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dr Wan Martina berkata, susulan penularan pandemik Covid-19 masih belum tamat, MKD meminta bantuan Butik V Soho terletak di Kampung Mahligai, Melor untuk menjahit telekung solat, PPE dan menyiapkan pelindung muka.
Katanya, MKD turut mengedarkan 3,000 pek makanan kepada kumpulan terjejas pandemik Covid-19 sama ada yang hilang pekerjaan, dikuarantin di rumah serta keluarga asnaf.
Sementara itu, pemilik V Soho, Rahimah Rani berkata, atas dasar kebajikan kesemua kelengkapan tersebut disiapkan tanpa mengenakan bayaran upah jahitan terhadap MKD.
Katanya, dengan kepercayaan diberikan untuk menyiapkan barangan tersebut ia membantu menambah pendapatan dua ibu tunggal dan seorang suri rumah bekerja sebagai tukang jahit.
"Sejak awal PKP lagi selain sibuk menjahit tudung dan telekung solat keluaran butik sendiri, ibu-ibu tunggal di sini juga mendapat pendapatan tambahan dengan menyediakan tempahan PPE serta keperluan frontliners," katanya.
Tambah Rahimah, pekerja di sini boleh memperoleh pendapatan sehingga RM900 sebulan dan bersedia membantu MKD dalam melakukan kerja-kerja kebajikan.
"Saya memberikan kelonggaran masa bekerja kepada ibu-ibu tunggal untuk menguruskan keluarga terlebih dahulu sebelum memulakan kerja kerana memahami keadaan mereka," katanya.
Rahimah yang juga penggerak MKD memberitahu, dia bersyukur dengan projek tersebut yang membantu pekerja di galeri tudung labuh dan telekung solat yang diusahakan selama ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!