Jualan kenderaan Proton susut 29.9 peratus pada Januari
KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd telah menjual sebanyak 5,964 unit kenderaan kepada pelanggan pada Januari 2021, menyusut 29.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.
Syarikat itu berkata, pegangan pasaran dianggarkan pada tahap 18.5 peratus iaitu kira-kira 1.0 peratus lebih rendah berbanding Januari 2020.
"Bagaimanapun, kadar jualan itu mencerminkan ketidakbolehan pengeluaran kenderaan untuk memenuhi permintaan dan bukannya pengurangan tempahan," katanya dalam satu kenyataan.
Model paling laris Proton pada Januari adalah Proton Saga dengan sejumlah 2,583 unit telah dihantar kepada pembeli, menjadikannya sedan segmen-A kedua paling popular.
Proton X70 dan Proton X50 pula kekal di tangga teratas SUV segmen-C dan SUV segmen-B (lima tempat duduk) walaupun jumlah yang didaftar berkurangan kepada 892 unit dan 1,082 unit.
Bagi Proton X50, sebanyak 4,809 unit sudah dihantar kepada penempah semenjak dilancarkan pada 27 Oktober 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, bulan Januari adalah bulan yang agak sukar bagi industri otomotif Malaysia.
Harapan tinggi momentum yang dibina pada akhir tahun lepas akan dibawa ke tahun baharu ini, terutamanya selepas pengumuman insentif Penjana akan kekal sehingga akhir Jun tahun ini.
Malangnya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua telah menghampakan harapan itu.
Namun demikian, Proton dan ahli-ahli lain industri otomotif menyokong sepenuhnya langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal kadar jangkitan.
'’Keselamatan semua rakyat Malaysia perlu diutamakan dan syarikat-syarikat perlu menukar strategi jika ingin mencapai matlamat dalam keadaan pasaran yang telah berubah,” kata beliau.
Roslan menambah walaupun buku pesanan Proton masih penuh dengan tempahan sejak akhir tahun lalu, syarikat perlu bekerja keras untuk pengeluaran menepati kadar permintaan.
Sebagai industri yang bergantung kepada rantaian bekalan global, syarikat otomotif akan terjejas jikalau ada kelewatan penghantaran bahagian kerana ini akan memberi kesan buruk kepada barisan pengeluaran mereka, jelasnya.
“Langkah-langkah seperti PKP telah memberi kesan kepada jumlah pelanggan yang datang ke bilik pameran, tetapi Proton boleh menerima tempahan dalam talian untuk meningkatkan jualan kami.
"Bagaimanapun, talian bekalan kami telah terjejas oleh Covid-19 untuk beberapa bulan lepas dan ini menyukarkan kami untuk membina kenderaan kerana bekalan bahagian tidak konsisten.
"Situasi ini turut dihadapi oleh semua pengeluar kenderaan semenjak tahun lepas tetapi kami berharap ketibaan vaksin akan menstabilkan keadaan ini pada pertengahan tahun,” kata Roslan.
Walaupun terdapat kelewatan, Proton berhasrat untuk meneruskan rancangan pelancaran produknya untuk tahun 2021 dalam usaha meningkatkan penjualan di dalam dan luar negara.
"Buat masa ini, Proton akan mengikuti jadual pelancaran produk. Kami akan melancarkan beberapa produk yang menarik tahun ini,” kata beliau. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!