Pemain MU tiada belas kasihan
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemainnya selepas membelasah Southampton 9-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Rabu.
Menurut Solskjaer, pasukan kendaliannya itu menunjukkan semangat luar biasa untuk menang selain turut memuji kesemua pemain yang menunjukkan corak permainan menyerang yang berkualiti.
"Mereka (pemain United) sangat kejam, tiada belas kasihan dan mereka meneruskannya (menjaringkan gol). Harry (Maguire), Victor (Lindelof), David (de Gea) dan Scott (Mctominay) menggerakkan bola dengan pantas ke bahagian hadapan.
"Semasa anda bermain bola sepak, anda harus memanfaatkannya sepenuhnya. Mereka bermain seperti ini adalah permainan terakhir mereka, jadi saya sangat berpuas hati.
"Apa yang paling saya suka adalah sikap dan keinginan mereka untuk berlatih dengan gigih, memberikan persembahan terbaik dan meraih kemenangan. Itu saja cara untuk menjadi pasukan yang bagus.
"Anda dapat melihat banyak perkara yang sedang kami usahakan. Kami ingin menjadi pasukan yang sukar untuk diramal. Setakat ini segalanya positif dan memberikan keputusan yang bagus," katanya.
Dalam perlawanan itu, Anthony Martial meledak dua gol dan masing-masing satu gol menerusi Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Aaron Wan-Bissaka, Edinson Cavani, McTominay dan Daniel James selain gol sendiri pertahanan Southampton, Jan Bednarek untuk memastikan kemenangan bergaya The Red Devils.
Kemenangan besar itu sekali gus memperbaharui rekod jaringan terbesar sembilan gol yang pernah dilakukan United ketika berdepan Ipswich pada 1995.
Dalam pada itu, Solskjaer tidak menafikan kemenangan besar tersebut berpunca daripada dua layangan kad merah yang diterima pasukan lawan menerusi Alex Jankewitz pada minit kedua dan Bednarek pada minit ke-86.
Namun, dia menegaskan para pemainnya mampu memecahkan corak pertahanan yang cuba dilakukan oleh Southampton terutama selepas Jankewitz dibuang padang.
"Kadang-kadang apabila pihak lawan bermain dengan 10 orang, mereka akan berada di belakang bola dan bertahan. Kami berjaya menukar arah bola dan beberapa pergerakan menarik untuk menjaringkan gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!