Pendidikan tahfiz umpama lombong emas
KUALA KUBU BHARU - Pendidikan tahfiz diibarat seperti lombong emas apabila menawarkan program menghafaz al-Quran dan akademik yang melahirkan huffaz dalam pelbagai bidang profesional.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perkembangan pendidikan tahfiz diperkenalkan dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi.
Menurutnya, kerajaan menjalankan usaha pengintegrasian sistem dualisme ini antara duniawi dan ukhrawi.
"Dengan dimulakan oleh Darul Quran Jakim, hari ini ibu bapa tidak lagi perlu risaukan masa depan anak mereka kerana sekolah berorientasikan tahfiz dan akademik tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.
"Yang menjadi isunya di sini, bagaimana hendak memastikan bahawa pendidikan tahfiz ini kekal menjadi lombong emas dan huffaz kekal menjadi 'emas' bernilai tanpa pernah susut harganya.
"Pelajar perlu memantapkan diri dengan al-Quran secara berterusan dan istiqamah, di samping penguasaan bidang ilmu lain," katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Datuk Paimuzi Yahya pada Majlis Khatam Al-Quran Pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat 2019 di Darul Quran Jakim, di sini.
Hadir sama, Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Raja Mudzaffar Raja Redzwa.
Mohamad Nordin berkata, sejak ditubuhkan pada 1966 sehingga kini, Darul Quran Jakim berjaya melahirkan seramai 7,693 huffaz.
Menurutnya, huffaz yang menamatkan pengajian itu dinasihati tidak terlalu selesa dengan sekeping sijil yang diterima tanpa keinginan untuk meningkatkan kualiti diri.
"Sedar atau tidak pada masa sekarang, terdapat doktor yang menghafaz al-Quran dan boleh menjadi imam serta mengajar agama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!