Semak kelayakan akademik semua anggota Kabinet
ALOR SETAR - Kerajaan PH dinasihatkan melakukan semakan semula terhadap kelayakan akademik anggota Kabinetnya sebagai usaha mengembalikan integriti sayap eksekutif negara.
Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, ia bertepatan dengan kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada tahun 1983, yang dilancarkan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri ketika menerajui negara.
Menurutnya, Dr Mahathir ketika itu menggesa agar penekanan hasil kerja berasaskan kepada tiga teladan penting, iaitu bersih, cekap dan amanah demi kesejahteraan dan keteguhan rakyat serta kedaulatan negara.
“Jadi, adalah wajar status kelayakan akademik menteri dan timbalan menteri PH disemak semula, bagi membuktikan kerajaan pimpinan Dr Mahathir masih menitik beratkan isu integriti, bukan hanya menjadikan isu integriti sebagai retorik politik mereka,” katanya.
Shahanim mendakwa, dikhabarkan lebih ramai menteri dan timbalan menteri disyaki menipu kelayakan akademik mereka.
“Perkara ini sesuatu yang memalukan negara apabila seorang timbalan menteri dilaporkan terlibat dalam skandal penipuan kelayakan akademik.
"Jika soal kelayakan akademik pun menipu, tak mustahil perkara lain pun ditipunya,” katanya, sinis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!