Kabinet baharu Myanmar bermesyuarat selepas rampasan kuasa

Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung. - Foto Reuters
Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung. - Foto Reuters
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kabinet baharu Myanmar bermesyuarat buat kali pertama pada Rabu selepas rampasan kuasa tentera, lapor Agensi Anadolu.

Menurut satu kenyataan unit maklumat tentera Myanmar, Mesyuarat Majlis Menteri diadakan di istana presiden bersama Panglima Angkatan Tentera dan Presiden Min Aung Hlaing, Timbalan Naib Presiden Myint Swe, dan sembilan anggota Kabinet yang dilantik menggantikan barisan menteri yang disingkirkan pada Selasa.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan pelan tindakan yang akan diambil ketika darurat. Myanmar mengisytiharkan darurat selama setahun.

Tentera Myanmar, dikenali Tatmadaw, mengisytiharkan darurat pada Isnin, beberapa jam selepas menahan pemimpin de facto dan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi serta anggota kanan lain parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Isu lain yang turut dibincangkan termasuk pelanjutan perjalanan dan pelancongan domestik, pembukaan kembali kuil dan tempat beribadat, melanjutkan kegiatan sektor ekonomi sesuai dengan langkah-langkah Covid-19, merangsang kembali ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan, lapor Agensi Anadolu.

Menurut parti NLD, Suu Kyi "dalam keadaan sihat" namun tiada maklumat mengenai lokasi beliau ditahan.

Selepas kudeta pada 1 Februari itu, 24 menteri dan timbalan diberhentikan pada Selasa dan 11 menteri baharu dilantik.

Penggulingan kuasa itu berlaku beberapa jam sebelum sesi pertama Parlimen baharu negara itu bersidang selepas pilihan raya November yang menyaksikan parti NLD pimpian Suu Kyi menang besar.

Artikel Berkaitan:

Tentera mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya, menyebabkan dominasi NLD di Parlimen. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!