Lawatan singkat Muhyiddin ke Indonesia 'dikawal ketat' SOP

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Indonesia yang dijadualkan bermula esok, 'dikawal ketat' dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan pandemik Covid-19 bagi mencegah sebarang bentuk penularan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, program lawatan ini juga diringkaskan dan hanya disertai delegasi kecil yang diwajibkan menjalani ujian Covid-19, selain melibatkan individu yang tidak bergejala dan disahkan negatif 48 jam sebelum berlepas.

“Muhyiddin mendapat jemputan khas untuk mengadakan lawatan rasmi daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri pada Mac 2020.

“Lawatan ini akan menggunakan pesawat khas kerajaan, bukan pesawat komersial, bagi mewujudkan ‘travel bubble’ ke Indonesia.

“Delegasi Malaysia sekali lagi diwajibkan menjalani ujian sebaik sahaja tiba di lapangan terbang di Jakarta. Hanya individu yang negatif Covid-19 sahaja akan dibawa terus ke hotel penginapan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu delegasi Malaysia tidak dibenarkan bergerak bersendirian, pergi ke tempat-tempat selain daripada tempat rasmi dan hanya dibenarkan berada di dalam bilik penginapan selain diwajibkan memakai pelitup muka setiap masa sepanjang berada di tempat-tempat rasmi lawatan.

Turut dimaklumkan, tiada sesi berjabat tangan, berpelukan dan bersentuhan sepanjang lawatan rasmi ini berlangsung, dan pihak Kerajaan Indonesia telah memberi jaminan akan menganjurkan lawatan rasmi ini dengan SOP pencegahan Covid-19 yang amat ketat.

Memandangkan pandemik Covid-19 khususnya di Malaysia dan Indonesia masih berlarutan, Wisma Putra berkata, Perdana Menteri sendiri meminta agar lawatan rasmi bagi memenuhi jemputan ini diadakan secara singkat iaitu kurang daripada 24 jam dan ini telah dimaklumkan serta diterima baik kerajaan Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Jokowi sendiri juga telah mengarahkan agar tempat acara rasmi yang sepatutnya berlangsung di Istana Bogor di Bogor, Jawa Barat dipindahkan ke Istana Merdeka di Jakarta atas sebab kepentingan logistik Muhyiddin dan delegasi rombongan.

“Program lawatan rasmi ini juga diringkaskan. Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersama beberapa orang pegawai kanan Kementerian Luar Negeri terlebih dahulu akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Indonesia, Puan Yang Terutama Retno Marsudi sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri bermula,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu lagi, Wisma Putra menjelaskan lawatan rasmi Muhyiddin ini akan bermula pada pagi Jumaat sebelum kedua-dua pemimpin menunaikan solat Jumaat di Masjid Baiturrahim yang terletak di dalam Istana Merdeka, dan seterusnya ke Jamuan Makan Tengahari Rasmi yang akan dihoskan Jokowi.

Selepas jamuan itu Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia akan terus pulang ke tanah air dan seterusnya menjalani kuarantin wajib seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menyentuh mengenai lawatan itu juga, Wisma Putra memaklumkan Malaysia memenuhi jemputan ini atas dasar menghormati Indonesia sebagai rakan negara serumpun yang telah menjalin persahabatan akrab selama berpuluh tahun.

“Terdapat beberapa perkara dan isu yang menyentuh kepentingan kedua-dua negara seperti kerjasama ekonomi, isu keselamatan serantau dan dua hala serta usaha menangani secara bersama pandemik Covid-19 yang memerlukan perbincangan teliti serta kesepakatan.

“Oleh sebab itu, pemimpin tertinggi kedua negara bersetuju mengadakan perbincangan secara bersemuka,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra dalam kenyataan itu juga menggariskan beberapa kepentingan lawatan ini kepada kedua-dua negara berjiran itu, antaranya memperkukuh perancangan bagi bersama-sama memerangi diskriminasi minyak sawit terhadap Malaysia dan Indonesia di peringkat antarabangsa.

Selain itu, lawatan juga penting bagi memperkukuh kerjasama dalam memerangi isu alam sekitar khususnya masalah jerebu rentas sempadan, selain meningkatkan usahasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Ia juga penting bagi mempertingkatkan rundingan untuk melaksanakan skim Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) di antara kedua-dua negara atas tujuan rasmi serta perniagaan selain berkongsi kaedah dan memperoleh informasi hasil penggunaan vaksin Covid-19 khususnya oleh Indonesia yang telah memulakan program vaksinasi kepada rakyatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!