Pesakit kanser bangkit jadi pengusaha nanas berjaya
KLUANG - Penyakit kanser yang dihidapinya kira-kira empat tahun lalu tidak melemahkan semangat Mohd Firdaus Ahmad, 36, dari Kampung Sahari, Simpang Renggam untuk menceburi bidang pertanian apabila dia kini menjadi pengusaha nanas yang berjaya.
Sebaliknya, bapa kepada dua anak berusia enam dan lapan tahun itu tidak pernah menganggap kanser pada dinding perutnya atau pseudomyxoma peritonei yang dihidapinya itu sebagai pengakhiran kehidupannya kerana menyedari masih ada sinar di hujung jalan.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang itu kini menempa kejayaan dengan mengusahakan tanaman nanas MD2 seluas 10 hektar dengan 200,000 nanas melalui program Penanaman Nanas Untuk Pasaran Premium (KNAL) anjuran Lembaga Perindustran Nanas Malaysia (LPNM).
Mohd Firdaus berkata, semua itu bermula selepas dia melakukan pembedahan membuang kanser tersebut sebaik penyakitnya dikesan yang mengambil masa hampir 20 jam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada November 2018 lalu.
"Semasa berehat beberapa bulan di rumah, saya mula merancang kehidupan. Syukur kerana rezeki menyebelahi saya apabila menerima Geran Agropreneur Muda 2020 Fasa 3 berjumlah RM20,000 di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk golongan belia bawah 40 tahun.
"Dari situ dengan modal yang ada, saya mula mengorak langkah dan dengan bantuan dua pekerja yang juga rakan sekampung perancangan untuk menanam nanas MD2 dan akhirnya berjaya dilakukan penghujung tahun lalu.
"Alhamdulillah, walaupun kesakitan kesan daripada penyakit maut itu masih ada namun saya tetap gagahkan diri untuk membina empayar kehidupan keluarga sebagai jaminan masa depan anak-anak," katanya ketika ditemui di kebun nanas miliknya di Simpang Renggam pada Rabu.
Mohd Firdaus berkata, kejayaan mengusahakan tanaman nanas MD2 itu turut menjadi inspirasi kepadanya untuk meluaskan perusahaan dengan menyewa beberapa tanah kosong milik penduduk di kampungnya.
"Walau bagaimanapun, kejayaan ini bukan mudah seperti disangka, jika tidak dengan dorongan isteri, Noraini Kosnon, 36, yang bekerja sebagai Pegawai Zat Makanan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pasti semua semangat saya sudah lama berkubur.
"Buat masa ini saya hanya boleh memantau kerja-kerja di kebun pada waktu petang dan cuti hujung minggu memandangkan kesihatan masih tidak mengizinkan selain perlu menjalani rawatan susulan di Singapura," katanya.
Justeru, Mohd Firdaus berharap, mereka yang berhadapan dengan penyakit kronik sepertinya agar mudah tidak 'hilang arah' dalam kehidupan sebaliknya bangkit dan tidak sesekali putus asa kerana semua yang berlaku ada hikmah selain perlu merancang kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!