Dua warga emas cedera nahas lima kenderaan

Orang ramai melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Mawar di Taman Muda pada Rabu.
Orang ramai melihat keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Mawar di Taman Muda pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Dua lelaki warga emas cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Mawar di Taman Muda di sini Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian pada jam 2.15 petang itu, seorang lelaki berusia 62 tahun memandu Toyota Camry dari arah Jalan Bunga Raya dipercayai hilang kawalan ketika hendak membelok ke kiri.

"Kereta itu kemudian melanggar tiga kenderaan lain iaitu sebuah motosikal Honda Wave, BMW dan lori jenis Hino yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat kerana lampu merah," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Azman berkata, akibat pelanggaran itu, lori berkenaan telah bergerak ke kiri dan menghimpit kereta Honda Jazz yang berada di sebelahnya.

"Toyota Camry itu pula terbabas sebelum melanggar tembok di tepi jalan dan pemandunya tersepit di tempat duduk," katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal berusia 60 tahun yang dilanggar telah tercampak di atas jalan dan mengalami patah kaki kiri, selain luka pada tangan.

Kenderaan yang dipandu mangsa merempuh tembok di persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Mawar di Taman Muda pada Rabu.
Kenderaan yang dipandu mangsa merempuh tembok di persimpangan lampu isyarat Jalan Bunga Mawar di Taman Muda pada Rabu.

"Pemandu kenderaan lain terselamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah dipanggil ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

"Kedua-dua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan," katanya.

Azman berkata, semakan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kemalangan.

"Kita sedang mengesan saksi kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-13078348 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!