Covid-19: Sarawak catat tiga kematian sejak awal minggu
KUCHING - Sarawak melaporkan tiga kes kematian akibat Covid-19 sejak 1 Februari lalu menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat virus berkenaan di negeri ini kini berjumlah 42 kes.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan Sarawak juga mencatatkan 148 kes positif Covid-19 pada Rabu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 4,824 kes.
JPBN memaklumkan kes kematian ke-40 merupakan kes ke-2,282 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun yang melakukan saringan pada 17 Januari lalu kerana mengalami gejala sakit tekak dan kehilangan deria rasa.
“Kes didapati positif dan mengalami ketidakselesaan pada dada dan sesak nafas. Pada 1 Februari kes didapati tidak sedar diri dan disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kes kematian ke-41 merupakan kes ke-3,770 yang melibatkan seorang perempuan warga tempatan berumur 59 tahun yang telah dimasukan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan kemoterapi bagi penyakit kanser sel darah putih.
“Kes mengalami gejala demam dan peningkatan kadar pernafasan beberapa hari selepas rawatan berkenaan. Saringan dijalankan didapati positif Covid-19 dan kes disahkan meninggal dunia pada 2 Februari,” menurut JPBN.
Kes kematian ke-42 merupakan kes ke-2,584 yang melibatkan seorang perempuan warga tempatan berumur 74 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu setelah saringan yang dilakukannya kerana menjadi kontak rapat kes positif.
“Keadaan kesihatan mangsa semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 3 Februari,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!