Industri perhotelan semakin tenat
SHAH ALAM- [LAPORAN KHAS] Timbalan Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menyifatkan keadaan sektor industri hotel dan pelancongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 umpama penyakit kanser tahap keempat.
Beliau berkata, sektor perhotelan memasuki tahap pertama ketika berlaku Covid-19 di China yang menyebabkan pelanggan hotel berkurangan.
Menurutnya, tahap kedua dan tahap ketiga pula merujuk kepada berlakunya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas dan berakhir pada tahun ini.
“Jadi bila kena PKP baru-baru ini, ia sudah jadi (kanser) tahap empat. Ia ibarat kanser sebab agensi kerajaan cuma nampak secara luaran.
“Ia (hotel) beroperasi sama macam manusia, masih hidup tetapi dalamannya kita tidak tahu apa yang berlaku.
“Bererti ia (hotel) sedang ‘sakit’ di dalam, di luar memang nampak masih hidup. Tetapi di dalamnya sudah ada ‘sel-sel’ yang sedang merosakkan bisnes itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau meramalkan sektor perhotelan bakal berdepan situasi buruk seperti penutupan hotel, tahap perkhidmatan akan menurun dan kakitangan kehilangan pekerjaan.
Jelasnya, hotel-hotel yang terjejas akan mengambil masa yang lama untuk pulih kembali dan tidak akan bersedia.
“Senang kata, industri perhotelan ini sudah mati. Kita tidak nampak apa-apa yang kerajaan buat seperti pakej rangsangan khas untuk industri pelancongan.
“Keistimewaan hanya untuk sektor industri pelancongan tetapi ia perlu merangkumi semua. Apa-apa yang terlibat dalam industri pelancongan harus diselamatkan.
“Mungkin mereka sedang bermesyuarat dan sebagainya, tetapi (kerajaan) kena sampaikan kepada pemain-pemain industri dengan segera apakah tindakan yang mereka sedang buat untuk selamatkan industri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng menjangkakan lebih daripada 100 hotel telah ditutup.
Beliau berkata, berdasarkan statistik sebelum ini, industri telah kehilangan sekurang-kurangnya RM6.5 bilion pada tahun lepas.
Untuk setiap dua minggu PKP dilaksanakan pula, industri dianggarkan kehilangan pendapatan sebanyak RM300 juta.
“Impak ke atas industri perhotelan sejak awal tahun 2020 telah hampir melumpuhkan industri, bukan sahaja kehilangan pendapatan tetapi juga modal insan dan daya tampung pelancongan.
“Walaupun industri dijangka pulih dalam masa dua hingga empat tahun, tetapi industri pelancongan Malaysia kemungkinan besar memerlukan lebih masa untuk bangun semula,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!