‘Tommy Thomas telah menghina institusi Peguam Negara’
SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyifatkan bahawa pandangan dan tuduhan yang dinyatakan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas di dalam buku terbaharunya itu adalah sebuah penghinaan kepada institusi Peguam Negara.
Beliau berkata, Tommy tidak sepatutnya sesuka hati menulis dan seolah-olah mahu menjadi menjadi wartawan ‘insider’ kerana jawatan yang pernah disandangnya itu bukanlah sesuatu yang remeh.
“Jawatan Peguam Negara ini bukan jawatan kecil. Ia termaktub dalam Perlembagaan Perkara 145. Tentunya apabila menjadi Peguam Negara, waima setelah tamat tempoh perkhidmatan pun, wujud etika dan ‘decorum’ yang sesuai dengan institusi tersebut.
“Tak boleh tulis sesuka hati seolah-olah mahu menjadi wartawan ‘insider’,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu bagi mengulas mengenai kontroversi yang ditimbulkan oleh Tommy di dalam memoirnya bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.
Shahril berkata, adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila Tommy dilihat telah menghina dan menyalahkan pelbagai pihak di dalam tulisannya itu termasuk Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein.
Katanya, tanpa sebarang bukti, Tommy secara terbuka telah menuduh Tun Razak sebagai individu yang mendalangi insiden paling hitam dalam sejarah negara iaitu peristiwa 13 Mei 1969.
“Yang menulis ini adalah bekas Peguam Negara. Bukan pengarang surat layang. Bukti apa yang dia ada sehingga tergamak menerbitkan suatu tuduhan yang amat jelas dan nyata terhadap Bapa Pembangunan Malaysia yang mana individu itu pun tidak ada bersama kita lagi untuk menepis dakwaan tersebut.
“Kedua dan lebih hina, Tommy menggambarkan seolah-olah Tun Razak tergamak buat apa yang didakwanya (di dalam bukunya), kononnya kerana Tun Razak tak sabar untuk ambil alih jawatan Perdana Menteri disebabkan beliau menghidap leukemia.
“Ini penghinaan yang teramat serius yang merendahkan keperibadian seorang bekas pemimpin negara. Berasaskan apa? Bukan berasaskan bukti, tetapi 'conjecture' dan prejudis yang tebal,” katanya.
Shahril turut mempersoalkan kewibawaan Tommy sebagai seseorang yang pernah menjadi peguam negara apabila secara terbuka membongkarkan perkara yang sepatutnya dirahsiakan.
Jelas beliau, meskipun Tommy berhak untuk menyatakan apa sahaja pandangan yang dimilikinya, namun beliau berpandangan bahawa apa yang ditulis itu adalah tidak sesuai dengan statusnya sebagai seorang bekas peguam negara.
“Tommy patut tahu, ada perkongsian yang mengundang tindakan bawah sistem perundangan. Dan ada pandangan yang kalau tak menyalahi undang-undang pun, amat tak sesuai datang dari seorang bekas Peguam Negara.
“Satu perkara hampir pasti. Dengan buku anda, anda bukan hanya telah menghina ramai pihak, tetapi menghina institusi Peguam Negara yang anda sendiri pegang suatu ketika dahulu.
“Jangankan mahu menutup kegagalan sewaktu jadi Peguam Negara, mungkin buku ini juga antara kegagalan paling besar anda sehingga saat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!