Tindakan meletak jawatan tidak selesaikan masalah: Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Desakan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO tidak akan menyelesaikan masalah dalam parti tersebut, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, langkah yang pernah diambil sebelum ini dilihat tidak memberi sebarang kesan positif terhadap parti itu.
“Saya pernah bercuti selama enam bulan 12 hari kerana ketika itu ada sekumpulan ahli Parlimen yang mendesak saya sama ada meletakkan jawatan atau bercuti dan menyatakan kalau saya bercuti, mereka tidak akan keluar daripada UMNO.
“Tetapi jelas bahawa sehari selepas saya bercuti, kumpulan itu terus keluar daripada UMNO,” katanya dalam satu temubual yang bersiaran di Facebooknya pada Rabu.
Menurutnya, keengganan beliau untuk melepaskan jawatan tersebut juga adalah bagi menghormati pilihan yang dibuat perwakilan UMNO yang memilihnya untuk menerajui parti tersebut dalam pemilihan yang berlangsung pada tahun 2018.
“Perkara ini bukan soal mahu atau tidak tetapi kita mesti menghormati pilihan yang dibuat oleh perwakilan bersandarkan kepada peraturan dalam perlembagaan kepada fasa-fasa yang ada di dalamnya dan kita harus menghormatinya.
“Ini kerana perlembagaan meletakkan institusi kepimpinan sama ada di peringkat cawangan, bahagian, perhubungan negeri atau peringkat nasional, itu harus dijunjung oleh setiap ahli apatah lagi kepimpinan di semua peringkat,” katanya.
Jelas Ahmad Zahid, keputusan untuk menentukan sama ada beliau terus menjadi Presiden UMNO bukanlah terletak di tangannya tetapi sebaliknya ia perlu ditentukan oleh kesemua 191 perwakilan parti tersebut.
Katanya, sebagai seorang yang dipilih secara demokratik, beliau perlu menjalankan amanah yang telah diberikan perwakilan tersebut kepadanya walau apa pun cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapinya.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaannya untuk menerima cabaran sekiranya terdapat pemimpin lain yang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan Presiden UMNO yang akan datang.
“Ketika saya mengambil alih (UMNO), saya memutuskan bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib presiden dan semua jawatan terbuka untuk ditandingi.
“Saya mesti terus menterjemahkan bahawa saya adalah seorang demokrat, itu sebabnya pada tahun 2018, jawatan presiden ini ditandingi oleh tiga orang.
“Kali ini, kalau tujuh orang nak bertanding. Saya fikir eloklah. Sebab lagi ramai lagi meriah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!