Gadis cari bapa jadi wali nikah
KUALA TERENGGANU - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan ini memohon bantuan orang ramai mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya.
Sarlinda Mohd Salim, 35, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit berkata, dia sekeluarga tidak tahu di mana bapanya, Mohd Salim Ali Putera, 66, berada selepas lelaki itu meninggalkan ibunya 35 tahun lalu.
“Ayah tinggalkan mak ketika saya dalam kandungan dan selepas dilahirkan, saya tidak pernah melihat atau jumpa ayah,” kata anak bongsu daripada empat beradik kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Sarlinda, dia sekeluarga pernah bertanyakan adik-beradik bapanya yang tinggal di Kuantan, Pahang pada Disember lalu namun mereka juga tidak tahu di mana Mohd Salim berada.
Malah kata Sarlinda, bapanya yang berasal dari Kuantan, Pahang dan beralamat terakhir di Kampung Bukit Wan, di sini juga tidak pulang ketika neneknya meninggal dunia.
“Saya kini buntu di mana mahu mencari ayah untuk jadi wali sedangkan tarikh nikah makin hampir.
“Jadi saya harap mana-mana pihak yang kenal atau tahu lokasi ayah dapat hubungi saya di talian 017-8238936,” katanya yang akan bernikah dengan Mohd Firdaus Mohamed pada 14 Februari nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!