Islam tidak pinggir OKU, tekankan kepentingan santuni golongan itu
SHAH ALAM - Islam tidak pernah meminggirkan hak orang kelainan upaya (OKU), sebaliknya penekanan bagaimana untuk meraikan golongan istimewa tersebut telah dijelaskan secara terperinci dalam al-Quran sejak zaman Nabi Muhammad SAW.
Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, salah satu bukti Islam menyantuni golongan OKU dapat dilihat berdasarkan teguran ALLAH SWT kepada Rasulullah SAW dalam surah 'Abasa.
“Dalam surah tersebut ALLAH menegur Nabi Muhammad kerana mengabaikan atau tidak melayani seorang cacat penglihatan iaitu Abdullah Ibnu Ummi Maktum.
“Ketika itu Abdullah Ibnu Ummi Maktum meminta Nabi membaca dan menyampaikan kepadanya ajaran Islam.
"Beliau mengulangi permintaan tersebut kepada Nabi beberapa kali, sedangkan dia sendiri tidak tahu keadaan Nabi yang sedang sibuk melayani orang lain. Kemudian turunlah ayat tersebut yang menegur Nabi,” katanya pada Wacana Al-Quran siri ke-78 bertajuk Adakah Benar Islam Meminggirkan OKU yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Turut menjadi panelis pada program itu adalah Ketua Unit Perkhidmatan OKU, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Jalinan Komuniti), Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Ruzita Mohd Amin dan Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Hasnah Toran.
Moderator ialah Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail serta Qari, Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan surah al-Isra' ayat 70.
Tegas Mohd Asri, ALLAH memberi teguran dan peringatan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa kedudukan OKU perlu dijaga kerana mereka mempunyai ketidakupayaan tertentu.
Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, masyarakat hari ini, perlu ada pendidikan bagaimana untuk melayani golongan OKU agar mereka dapat disantuni dengan betul.
Beliau berkata, pendidikan ini sangat penting memandangkan golongan OKU bukan semuanya sama.
“Setiap OKU mempunyai masalah yang berbeza kerana ada yang tidak nampak, ada yang tidak boleh berjalan, ada yang tidak boleh mendengar dan sebagainya.
“Jadi masyarakat perlu ada pendidikan kerana cara untuk menyantuni mereka ini berbeza berdasarkan keupayaan mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!