LPNM sumbang dua tan nanas kepada 'frontliner'
KLUANG - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyampaikan sumbangan dua tan metrik buah nanas kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini pada Khamis.
Sumbangan yang disampaikan sendiri oleh Pengerusi (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan barisan hadapan (frontline) yang menjalankan tugas menghadapi pandemik Covid-19.
“Sumbangan ini bukan sahaja bagi menghargai jasa dan pengorbanan frontliner tetapi juga sebagai tanda ingatan pihak LPNM kepada mereka.
"Diharap sumbangan pihak LPNM sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tugas," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Johor itu mengingatkan orang ramai sentiasa menekankan soal penjagaan kebersihan dan kesihatan dalam kehidupan seharian pada setiap masa.
“Menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan normal baharu. Ia penting bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Pakai pelitup muka dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal. Selain itu, amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan menggunakan ‘hand sanitizer’," katanya.
Lebih penting katanya, majikan atau penyelia sektor dalam senarai perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi perlu sentiasa memastikan pekerja masing-masing dan pelanggan tidak melanggar SOP ditetapkan.
“Kita semua seharusnya mempunyai kesedaran yang tinggi dan perlu lebih bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Ingatlah kita mempunyai tanggungjawab sosial dalam meminimakan risiko, sekali gus menghentikan penularan jangkitan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!