26.5 juta individu terima vaksin Covid-19 secara percuma
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memulakan ‘roll-out’ pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula hujung bulan ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi di negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin tersebut yang diberikan secara percuma.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini akan melibatkan tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.
“Fasa ini amat penting untuk melindungi frontlines kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik Covid-19.
"Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.
Muhyiddin menambah, bagi fasa kedua, ia akan melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 iaitu warga emas dan golongan rentan yang berusia 60 ke atas.
“(Mereka) yang mengalami masalah morbiliti seperti penyakit jantung, obesiti, diabetis dan tekanan darah tinggi. Golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini.
“Seramai 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” katanya.
Beliau berkata, bagi fasa ketiga, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa yang berumur 18 tahun ke atas bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.
“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” katanya.
Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara bagi memastikan program berkenaan berjalan lancar.
“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.
“Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh kerajaan untuk mengambil alih secara sementara dewan dan kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.
Menurut Muhyiddin, program berkenaan adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini.
“Justeru, saya menyeru dan mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan sumber yang ada bagi menjayakan program ini,” katanya.
Tambah beliau, Jemaah Menteri juga bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Beliau akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!