Murid tahun tiga guna buah hasilkan elektrik
KUBANG PASU - Seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, di sini menghasilkan elektrik dengan menggunakan buah-buahan seperti pisang dan lemon bagi memenuhi masa di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ibunya, Profesor Madya Dr Rajwani Md Zain 46, berkata, Wan Iman Irsyad Wan Muhammad yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu gemar mencipta pelbagai benda melalui tontonan di YouTube.
"Iman bercita-cita menjadi seorang saintis. Dia lebih suka menghabiskan masa dengan aktiviti berbentuk eksperimen dan melukis selain daripada menonton Youtube.
"Selepas itu dia akan meminta saya dan suami untuk membeli bahan-bahan diperlukan untuk melakukan uji kaji yang dipelajari di Youtube," katanya pada Khamis.
Menurutnya, beliau selalunya akan memenuhi permintaan anaknya itu memandangkan kos yang diperlukan tidak terlalu tinggi.
"Kadang kala kos bahan-bahan uji kaji itu tidak sampai RM15 pun kerana bahan selebihnya hanya diambil daripada barangan sedia ada di rumah.
"Kami memberi sokongan penuh terhadap hobi Iman ini apatah lagi dia turut mendapat bimbingan daripada ayahnya yang juga guru subjek Sains dan Matematik di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) di Jitra," katanya
Tambahnya, antara projek lain yang dihasilkan Iman sepanjang PKP ialah projek sistem solar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!