Akta 342 perlu dipinda untuk penguatkuasaan lebih tegas

Muhyiddin - Foto Bernama
Muhyiddin - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 yang ada kini perlu dipinda.

Menurutnya, ia bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil.

Beliau pada masa sama turut menyenaraikan enam tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil daripada pindaan yang akan dilakukan itu.

“Pertamanya, arahan penutupan serta merta premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Kedua, tindakan perundangan terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

“Ketiga, tindakan perundangan terhadap rantaian pengurusan pekerja asing meliputi majikan, ejen pembekal pekerja, kontraktor utama, sub-kontraktor dan orang perseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19, disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan pada Khamis.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, perkara keempat yang perlu dipinda adalah mengenakan kompaun yang lebih tinggi kepada pesalah berulang atau pesalah yang telah diberi amaran.

Artikel Berkaitan:

“Kelima, tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar SOP dan keenam, tindakan tatatertib ke atas penjawat awam yang tidak mematuhi peraturan dan SOP termasuk kepada Ketua Jabatan berkaitan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah,” katanya.

Pada 30 Januari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat bahawa sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar dan melanggar SOP PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah tiba masanya nilai kompaun dinaikkan: KPN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!