Akta 466 dipinda tangani isu tempat tinggal pekerja
SHAH ALAM - Pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) akan dilaksanakan bagi menangani isu pengurusan tempat tinggal pekerja menerusi tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan dalam proses melakukan pindaan tersebut dan antaranya mewajibkan majikan menyediakan tempat tinggal yang memenuhi standard ditetapkan serta menanggung kos penginapan, perpindahan dan kos saringan kesihatan pekerja.
"Majikan juga perlu melaksanakan tindakan pemantauan ke atas pekerja asing sewaktu bekerja di premis pekerjaan dan selepas waktu bekerja di tempat tinggal.
"Selain itu, majikan memastikan ejen pusat penginapan pekerja menyediakan tempat tinggal pekerja yang memenuhi syarat dan standard kesihatan awam yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas mengenai pelaksanaan darurat dan pemasyhuran Ordinan Darurat dalam mengurus pandemik Covid-19 disiarkan di saluran televisyen dan media sosial rasmi kerajaan.
Katanya, Kementerian Sumber Manusia akan mengetuai Pasukan Petugas Pengurusan Penginapan Pekerja yang akan mempunyai bidang kuasa yang lebih besar dan menyeluruh menerusi pindaan Akta 446.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!