Segera jalani rawatan selepas disahkan hidap kanser: Muhyiddin
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa masyarakat segera menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Muhyiddin berkata, selain rawatan yang komprehensif, pengesanan awal serta tindakan mendapatkan rawatan dengan cepat dapat meningkatkan peluang kepada pesakit untuk sembuh.
"Apa jua penyakit, insya-ALLAH boleh dirawat dengan baik, sekiranya dikesan di peringkat awal dan dirawat dengan betul," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, bagi mengelakkan kanser dikesan lewat, orang ramai turut dinasihati melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala.
Selaku bekas pesakit kanser, beliau memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit itu.
"Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.
"Kata-kata perangsang dan dorongan keluarga menguatkan semangat saya untuk terus berjuang dan menghadapi penyakit ini," katanya.
Dalam pada itu Muhyiddin turut menyuntik semangat kepada pesakit kanser yang sedang berjuang.
"Kuatkan semangat, anda bukan menghadapinya seorang diri.
"Ramai pesakit kronik termasuk kanser yang saya kenali, berjaya melawan penyakit ini dan kini menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.
Sempena Hari Kanser Sedunia yang disambut setiap 4 Februari, Muhyiddin mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini.
"Amalkan gaya hidup sihat," katanya.
Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyuarakan kebimbangannya selepas kes kanser tahap tiga dan empat yang dikesan lewat merekodkan peningkatan.
Berdasarkan data, keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat pada tahun 2012 hingga 2016 adalah 63.7 peratus meningkat berbanding tahun 2001 hingga 2011 iaitu 58.7 peratus.
Selaku bekas pesakit kanser, saya memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit ini....
Posted by Muhyiddin Yassin on Thursday, February 4, 2021
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!