Pasar malam antara dibenar beroperasi mulai esok
KUALA LUMPUR - Pasar malam, kedai gunting rambut dan pusat cuci kereta dibenar beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mulai esok, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah dinilai dari segi risiko dan jumlah kluster dihasilkan setiap aktiviti perniagaan tersebut.
“Setelah berbincang dan melihat tiada kluster baharu oleh ketiga-tiga aktiviti perniagaan ini, maka mesyuarat setuju untuk luluskan (beroperasi semula),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pasar malam dibenar beroperasi dari 4 petang hingga 10 malam dengan memastikan jarak satu meter antara setiap gerai, laluan keluar masuk yang berbeza dan ada pengawasan oleh Rela untuk memantau pergerakan pengunjung.
Bagi kedai gunting rambut dan salon, beliau berkata, ia dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam namun hanya perkhidmatan gunting rambut dibenarkan.
“Rawatan muka dan lain-lain untuk kecantikan tidak dibenarkan dan SOPnya juga ketat iaitu petugas mesti pakai pelindung muka dan lebih baik kalau ada pelitup muka (bersekali), apron digunakan mesti dipakai buang, setiap pelanggan satu apron dan sarung tangan perlu dipakai oleh petugas yang menggunting rambut.
“Begitu juga dengan gunting dan sikat mesti dicuci dengan air panas sebelum digunakan untuk pelanggan baharu. Pusat cuci kereta juga dibenar beroperasi sehingga 10 malam,” katanya.
Ismail Sabri turut memberi bayangan lebih banyak aktiviti termasuk sukan dan rekreasi seperti gim dan kejohanan sukan berimpak tinggi, selain sektor peruncitan akan diberi kelonggaran namun ia tertakluk kepada penilaian risiko dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini katanya, selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masing-masing mengemukakan cadangan kepada mesyuarat khas hari ini.
“Kami teliti setiap perkara dibentangkan sama ada KPDNHEP dan KBS. Kami akan kaji dan setiap kajian kami pastinya akan dapat pandangan daripada KKM dan mereka akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kluster baharu yang wujud daripada setiap aktiviti yang dicadangkan.
“Sekiranya KKM berpandangan risiko tidak tinggi dan daripada data tidak tunjukkan kluster-kluster baharu dihasilkan maka ada kemungkinan kami akan luluskan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!