Anwar pilihan DAP sebagai calon Perdana Menteri PH
SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi pilihan utama DAP sebagai calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Menurut Guan Eng, sekiranya ada cadangan untuk menukar calon Perdana Menteri, perkara itu mestilah dilakukan menerusi perbincangan Majlis Presiden PH.
"Buat masa ini, masih lagi Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kerana ini berpandukan keputusan yang dibuat oleh PH.
“Sekiranya ada apa-apa perubahan calon Perdana Menteri, ia mesti melalui keputusan PH," katanya dalam Program Minda Profesor Negara yang disiarkan secara langsung di Facebok Majlis Profesor Negara pada Khamis.
Pada tahun lepas, Guan Eng mencadangkan nama Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri untuk PH dalam usaha mereka untuk mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh Majlis Presiden PH yang bertegas mahukan Anwar kekal sebagai calon Perdana Menteri gabungan tersebut.
Mengulas lanjut mengenai cadangan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri PH, Ahli Parlimen Bagan itu berkata, ia merupakan sebahagian pilihan yang ada.
Menurutnya, antara pilihan-pilihan PH sebelum ini ialah Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.
"Kita (DAP) melihat pilihan-pilihan sedia ada iaitu selain daripada Anwar dan pilihan lain ialah Dr Mahathir tetapi terdapat pilihan lain iaitu Shafie Apdal, itulah pilihan yang ada ketika itu tetapi PH, kita sokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
"Namun, kita tidak menolak kewibawaan Shafie Apdal sebagai seorang pemimpin berstatus pemimpin negara. Jangan disebabkan dia datang dari Sabah dan bukan dari semenanjung kita tolak dia.
"Itulah konsep integrasi nasional, jangan kita tolak seseorang pemimpin hanya kerana beliau dari Sabah dan Sarawak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!