Zoo Negara cuba bertahan guna tabung kecemasan
KUALA LUMPUR - Zoo Negara cuba untuk bertahan dengan menggunakan dana kewangan kecemasan bagi memastikan kelangsungan operasi mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata, buat masa ini, haiwan-haiwan di Zoo Negara berada dalam keadaan sihat malah makanannya juga tidak dicatu.
Beliau berkata, gaji kakitangan juga masih dibayar seperti biasa walaupun pengurusan Zoo Negara tidak memperoleh pendapatan sejak PKP pada 13 Januari lalu.
"Kedudukan kewangan sekarang saya rasakan mungkin boleh bertahan sehingga bulan Mei nanti sahaja.
"Buat masa ini, kita masih bertahan dan tak nak susahkan orang tapi kalau keadaan terdesak, mungkin kita terpaksa minta," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Selasa lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari ini akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 18 Februari depan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen 'Adopt An Animal', Rosly berkata, sambutan bagi pelaksanaan inisiatif itu adalah amat perlahan berbanding sebelum ini.
"Dulu, boleh dikatakan sampai kakitangan kita pun tak cukup kerana terlalu ramai mengikuti kempen ini berbanding dengan sekarang.
"Disebabkan itu, kami amat mengalu-alukan sumbangan daripada pihak luar yang sudi untuk membantu operasi di Zoo Negara ini," katanya.
Dalam pada itu, Rosly berkata, sewaktu pelaksanaan PKP 1.0 pada Mac tahun lalu, banyak pembekal tidak bersedia dan mereka turut menyumbangkan lebihan makanan seperti daging, ikan serta sayur kepada Zoo Negara.
Katanya, keadaan kewangan Zoo Negara ketika itu yang teruk turut memaksa pihak pengurusan memohon sumbangan daripada orang ramai.
"Ketika itu, kita mendapat sumbangan lebih RM10 juta dan wang itulah dimasukkan ke tabung kecemasan. Ia digunakan pada masa seperti ini untuk menampung kos operasi serta makanan haiwan di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!