LWOT dipilih lokasi rumah terbuka Tahun Baru Cina

Pimpinan PH Perak pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019.
Pimpinan PH Perak pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019.
A
A
A

TRONOH - Kerajaan Perak akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka sempena Tahun Baru Cina di Lost World Of Tambun, 19 Februari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majlis bermula jam 2 petang itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Permaisuri, Tuanku Zara Salim.

Menurutnya, pemilihan taman tema air itu adalah bertepatan dengan usaha kerajaan negeri memperkenalkan lokasi pelancongan kepada rakyat Perak sendiri.

"Pada sambutan Aidilfitri lalu, kita adakan di MAPS (Taman Tema Animasi Studio), walaupun dengan bajet yang kurang daripada tahun sebelumnya, sambutannya adalah diluar jangkaan.

"Jadi kali ini kita pilih pula Lost World of Tambun, orang ramai boleh bawa baju mandi untuk mandi manda, kalau tak mahu mandi boleh melawat petting zoo," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2019 PH Perak di Restoran Guo Thye Taman Seroja, Taman Pusing Baru, hari ini.

Beliau berkata, pengurusan Lost World Of Tambun bersetuju untuk membuka taman tema itu secara percuma dari jam 2 hingga 5 petang dan orang ramai boleh merasai keriangan di situ sehingga jam 11 malam.

"Kita akan sedia makanan secukupnya untuk semua tetamu yang hadir," katanya.

Ahmad Faizal berkata, beliau sedaya upaya menjalankan tugas selaku menteri besar dengan penuh adil kepada semua bangsa.

Artikel Berkaitan:

"Itu yang sedang saya cuba lakukan. Yakinlah dengan kerajaan Pakatan Harapan, kita akan lakukan sebaik mungkin apa juga berkaitan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!