Tommy Thomas langgar sumpah jawatan: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid. Gambar kecil: Tommy Thomas
Ahmad Zahid. Gambar kecil: Tommy Thomas
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam buku berjudul 'My Story: Justice in The Wilderness' tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.

Beliau berkata, ia kerana Tommy telah melanggar sumpah jawatan Peguam Negara untuk menjaga dan menyimpan kerahsiaan kerajaan pada setiap masa, walaupun tidak lagi menyandang jawatan tersebut.

‘’Menjadi teras utama dalam jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat diperoleh oleh mana-mana pegawai adalah diklasifikasikan sebagai ‘rahsia besar’, ‘rahsia’ atau ‘sulit’ tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum apatah lagi dijadikan pelaris kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta-fakta,’’ katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan Tommy yang memperlekeh Timbalan Pendakwa Raya dan keseluruhan Jabatan Peguam Negara dalam buku tersebut juga boleh mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap keupayaan dan kebolehan pegawai di Jabatan Peguam Negara.

Katanya, kenyataan bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan dan faedah pencen adalah satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab terutamanya apabila dakwaan tersebut daripada Ketua Jabatan di jabatan itu sendiri.

“Apa lebih membimbangkan kenyataan fakta ditulis tidak tepat dan lebih kepada dimanipulasi untuk menyemai rasa benci dan fitnah terhadap UMNO dan Barisan Nasional serta individu dinamakan, pemimpin politik dan jabatan pernah diterajuinya dengan tujuan untuk memesong kepercayaan rakyat terhadap organisasi kerajaan secara keseluruhannya,’’ kata beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kenyataan Tommy terhadap peristiwa 13 Mei yang ditulis dalam buku tersebut juga dilihat dibuat tanpa mengira sensitiviti masyarakat termasuk tuduhan mengaitkan Tun Abdul Razak Hussein dengan tragedi tersebut yang disifatkan merendahkan kredibiliti bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata, buku tersebut menggambarkan Tommy sebagai seorang individu yang tidak boleh menyimpan rahsia, sukakan pujian dan menginginkan publisiti terhadap dirinya.

Artikel Berkaitan:

‘’Oleh itu, saya menyeru agar rakyat tidak terpengaruh kepada penulisan bersifat pandangan oleh Tommy Thomas ini,’’ katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!