Saya malu dengan Ebit Lew: Annuar

Annuar
Annuar
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa wakil rakyat perlu ada rasa malu dan menghargai mereka yang tidak mempunyai 'kuasa' tetapi dapat membantu orang lain.

Mengambil contoh pendakwah terkenal, Ebit Lew, beliau berkata berasa malu kerana sebagai wakil rakyat, beliau tidak dapat berbuat banyak berbanding pendakwah terkenal berkenaan.

"Dia (Ebit) bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi Semporna, Tawau dan pergi ke Kelantan dan jangan pula sampai ke kawasan (Parlimen) Ketereh nanti dia tengok apa benda yang saya tidak terbuat bagi rakyat saya.

"Saya bimbang. Jadi terus terang saya beritahu kepada pegawai saya, kalau boleh antara orang figura yang saya hendak jumpa ialah Ebit Lew.

"Hendak kongsi dengan dia, benda yang mungkin (atau) ada perkara yang boleh saya belajar daripada dia dan sebagainya dan kita (wakil rakyat) harus ada perasaan malu," katanya ketika menjawab pertanyaan Shahril Sarapudin selaku moderator pada program Bicara Minda di Facebook Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh berkata, sifat malu itu bagaimanapun perlu diambil dari sudut positif bukan negatif.

"Malu kerana ada orang yang tidak ada kuasa macam kita (wakil rakyat tetapi) dia sanggup berbuat lebih, namun bagaimana pula bagi kita yang ada kuasa tetapi kita tidak berbuat cukup," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tanggungjawab kerajaan tidak sama dengan NGO kerana kerajaan perlu memberi tumpuan dalam merangka dasar, agenda dan program yang baik khususnya untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

"Merangka dasar-dasar yang baik, mengadakan agenda-agenda dan program-program yang mungkin rakyat tidak nampak yang hasilnya pada jangka lebih panjang.

"Bagi yang mempunyai masalah itu kita (akan) turun (padang) dan selesaikan, itu juga penting tetapi sebagai kerajaan tentunya kita perlu berfikir jauh daripada itu.

"Kalau tidak nampak turun bukan bermakna tidak berfungsi tetapi lebih baik kalau kita, sementara kita menguruskan kerajaan dari segi perlaksanaan yang baik, kita juga terus menjadi sebuah kerajaan prihatin dan cakna kepada permasalahan rakyat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!