Guru datang rumah murid serah modul PdPR
JELEBU - Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Simpang Durian di sini mengambil inisiatif datang sendiri ke rumah muridnya bagi menyerahkan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Guru Besarnya, Syed Zulkafli Syed Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil masa selama dua hari bermula Rabu bagi menyerahkan modul berkenaan kepada 152 murid.
“Ini kerana 95 peratus murid sekolah ini adalah anak orang asli yang datang dari pelbagai kampung serata Negeri Sembilan termasuk Pahang.
“Usaha ini bagi mengelakkan mereka tercicir dalam pelajaran susulan ada dalam kalangan mereka berdepan kekangan belajar secara dalam talian,” katanya pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, guru sekolah itu bukan semata-mata hadir menyerahkan modul PdPR tetapi turut mengambil kesempatan mengajar.
Katanya, SK Putra antara empat sekolah orang asli yang terdapat di Negeri Sembilan selain SK Sungai Sampo, Jempol; SK Senibai, Johol, Kuala Pilah dan SK Tekir, Labu, Seremban.
Sementara itu, seorang murid sekolah itu, Jeni Pairin, 12, dari Kampung Orang Asli Batu Ibong, Jelebu berkata, dia gembira apabila guru sekolah datang ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari sekolah.
“Biarpun belajar menggunakan modul disediakan, ia lebih baik berbanding jika terus tidak belajar.
“Saya harap pandemik Covid-19 ini segera berakhir kerana kebanyakan murid sudah mula rindukan suasana pembelajaran di sekolah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!