Lapan premis 'melombong' bitcoin diserbu

Razali (kanan) melihat mesin bitcoin yang dirampas di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang pada Khamis.
Razali (kanan) melihat mesin bitcoin yang dirampas di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Serdang pada Khamis.
A
A
A

SERDANG - Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membongkar kegiatan sindiket 'melombong' bitcoin di lapan premis di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, intipan selama tiga hari dilakukan di premis berkenaan sebelum serbuan dilakukan pada jam 4 petang.

"Pihak TNB mendapati terdapat sambungan wayar elektrik yang tidak sah di premis itu. Kita terpaksa memecahkan pintu premis untuk melakukan pemeriksaan sebelum menemui sebanyak 613 mesin bitcoin masih beroperasi di lapan premis berkenaan," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Razali bagaimanapun berkata, tiada individu di premis terbabit ketika serbuan dilakukan.

"Kita percaya kegiatan itu sudah beroperasi sejak enam bulan lalu, malah semua premis diubah suai supaya nampak seperti tidak beroperasi.

"Kita mendapati beberapa papan lapis digunakan oleh sindiket untuk menghalang bunyi kuat," katanya.

Beliau berkata, pihak TNB menganggarkan kerugian kira-kira RM38,000 setiap bulan bagi setiap satu premis terbabit.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengenal pasti pemilik serta penyewa semua premis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razali berkata, sebanyak 613 mesin bitcoin yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427/379 Kanun keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!