Enam jam padam kebakaran bukit

Anggota bomba menjalankan kerja memadam api dalam kebakaran di atas bukit di Tanjung Bungah, Georgetown pada malam Khamis.
Anggota bomba menjalankan kerja memadam api dalam kebakaran di atas bukit di Tanjung Bungah, Georgetown pada malam Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkan api dalam kejadian kebakaran hutan seluas 7.3 hektar di Jalan Chee Seng, Tanjung Bungah di sini pada Khamis.

Komander operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal, Pegawai Bomba Kanan II Wan Chik Ariffin Mohd Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 4.42 petang.

Menurutnya, anggota bomba tiba di lokasi kira-kira 10 minit selepas panggilan kecemasan diterima dan mengambil masa lebih enam jam untuk memadamkan api di atas bukit tersebut.

"Kita menggunakan khidmat lebih 50 anggota untuk memadamkan api di kawasan bukit tersebut. Ketika di lokasi, kita dapati kebakaran melibatkan hutan dengan anggaran keluasan 7.3 hektar dan terdapat tiga bahagian.

"Pasukan bomba bertugas perlu berjalan kaki ke lokasi kebakaran kerana ia adalah kawasan berbukit selain berdepan kesukaran dalam kerja pemadaman api kerana keadaan tanah yang tidak rata," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan pemerap api dan 'jet shooter'.

"Api berjaya dikawal pada jam 9.41 malam dan berjaya dipadamkan pada 10.40 malam. Anggota bertugas membuat 'size up' selain kerja mengawal dan memadam dengan menggunakan alatan khas iaitu Forest Fire.

"Sementara itu, kerja 'overhaul' juga telah selesai dilakukan dan operasi tamat pada jam 11.30 malam. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, kerja pemadaman turut mendapat bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Erskine, Paya Terubong dan Bukit Bendera.

Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!