Pengguna kesal MBPJ tutup kawasan riadah
PETALING JAYA - Penduduk di sekitar bandar ini kesal dengan tindakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menutup dua kawasan riadah popular sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Kedua-duanya adalah Taman Jaya dan Hutan Pendidikan Bukit Gasing.
Mereka menganggap tindakan itu bertentangan dengan arahan kerajaan yang tidak menghalang orang ramai dan pejalan kaki beriadah asalkan mengikut peraturan atau SOP yang ditetapkan.
Penutupan dua taman popular itu menyebabkan mereka yang ingin beriadah dan pejalan kaki terpaksa menggunakan jalan raya dan sekitar kawasan perumahan awam di Seksyen 5 dan sekitarnya untuk tujuan itu.
Keadaan ini menyebabkan mereka yang ingin bersenam dan pejalan kaki terdedah kepada bahaya kenderaan.
Seorang pengunjung tetap di kawasan riadah Taman Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Lim menganggap penutupan kawasan beriadah ini tidak berasas sama sekali.
Bagi orang yang berusia lebih 70 tahun seperti beliau taman itu amat sesuai untuk tujuan mereka bersenam.
Perasaan ini turut dikongsi oleh seorang lagi pengunjung regular Hutan Pendidikan Bukit Gasing, Bahari Ali.
Beliau berpendapat, menutup trek hutan Bukit Gasing adalah satu keputusan yang tidak wajar dan tidak rasional.
“Pengguna tidak berkumpul macam di pasar malam atau pasar tani sebaliknya berdisiplin melalui trek hutan," ujarnya.
Mereka mahu campur tangan kerajaan negeri dalam soal ini. Pada waktu yang sama, ada taman yang dibuka di Selangor seperti Taman Shah Alam.
Orang ramai juga merujuk kepada keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan yang membuka Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Titiwangsa dan Taman KLCC untuk tujuan beriadah.
Dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau turut menyebutkan betapa pentingnya kesihatan fizikal dan mental diberi perhatian sepanjang tempoh PKP ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!