Polis Selangor siasat anggota tak pakai pelitup muka
SHAH ALAM - Polis Selangor sedang menyiasat dua isu membabitkan seorang anggota polis tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan seorang lagi meminta wang daripada seorang lelaki warga Bangladesh ketika bertugas di sekatan jalan raya.
Polis Selangor dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan memandang serius perkara itu dan telah mengesan beberapa keping gambar yang tular di Facebook pada Rabu.
"Gambar tersebut memaparkan anggota polis berada di tempat awam dan tidak memakai pelitup muka serta gambar sebuah kenderaan jenis Proton Persona milik Polis Diraja Malaysia.
"Polis akan mengambil tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan) 2021 serta tindakan siasatan tatatertib," katanya.
Dalam kes berasingan, Polis Selangor juga mengesan satu video klip melalui aplikasi WhatsApp yang tular pada hari sama.
"Video klip tersebut dipercayai dirakam di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) oleh seorang individu sambil bertutur dalam bahasa Tamil.
"Dalam video klip tersebut mendakwa anggota polis yang sedang menjalankan tugas sekatan jalan raya telah meminta wang daripada seorang warga Bangladesh yang ingin pulang ke negara asal," katanya.
Polis Selangor mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah menyalurkan maklumat berhubung isu tersebut.
"Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku melibatkan mana-mana pegawai dan anggota polis serta akan menjalankan siasatan secara telus mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!