Fighters nyaris tumbang di Jengka

Pemain PKNP FC Thomas Abbey (tengah) dihalang pertahanan Felda United Ahmad Haziq Ahmad Puad (kanan) pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, malam ini. - Foto Bernama
Pemain PKNP FC Thomas Abbey (tengah) dihalang pertahanan Felda United Ahmad Haziq Ahmad Puad (kanan) pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak, malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

FELDA United nyaris tumbang di laman sendiri apabila terikat 1-1 berdepan PKNP FC pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, malam tadi.

Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan berhati-hati sebelum mula merencanakan serangan untuk menembusi benteng pertahanan lawan masing-masing.

Felda United yang dinaikkan beraksi dalam Liga Super selepas menjuarai Liga Perdana musim lepas, mempunyai peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-21, namun rembatan pemain import dari Brazil Jocinei Schad berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat, Amar Asyraaf Omar.

PKNP FC yang tampak selesa meskipun bermain di gelanggang lawan berjaya meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-36 selepas pemain import dari Ghana, Thomas Abbey menanduk kencang bola hasil hantaran Muhammad Fadhil Idris.

Kedudukan 1-0 memihak kepada pasukan pelawat sehingga berakhir babak pertama.

Bersambung selepas rehat, PKNP FC yang tewas pada aksi pembukaan minggu lalu hampir menambah jaringan pada minit ke-64, namun rembatan kencang Yashir Armando Pinto hanya menggegar tiang gol.

Empat minit berselang, The Fighters berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma Muhammad Hadin Azman sekali gus menyaksikan keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat.

Felda United kini menghuni kedudukan keenam liga dengan dua mata, sementara PKNP FC kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata selepas dua perlawanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!