Tiga lelaki ditahan miliki, jual air ketum

Air ketum dalam plastik lut sinar yang dirampas selepas Polis menahan tiga lelaki menerusi serbuan di sekitar Permas Jaya, Johor Bahru.
Air ketum dalam plastik lut sinar yang dirampas selepas Polis menahan tiga lelaki menerusi serbuan di sekitar Permas Jaya, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki memiliki dan menjual air ketum melalui tiga serbuan berasingan di sekitar Permas Jaya di sini bermula jam 11 malam pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, selain menahan suspek berusia antara 23 hingga 37 tahun itu, pihaknya turut merampas 54.9 liter air ketum dan 20 kilogram daun ketum bernilai RM749.

"Dalam serbuan pertama, polis merampas 85 bungkus plastik lut sinar berisi air ketum, satu periuk, satu dapur gas dan satu tong gas yang dipercayai digunakan untuk memasak air ketum.

"Pada serbuan kedua, polis merampas empat plastik lut sinar berisi air ketum dan enam bungkus plastik berisi daun ketum," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Katanya, dalam serbuan ketiga pula pihaknya merampas satu guni berisi sisa daun ketum, 50 plastik berisi daun ketum dan pelbagai perkakas digunakan untuk memasak air ketum.

Mohd Padzli berkata, soal siasat mendapati air ketum berkenaan dihasilkan untuk kegunaan sendiri selain dijual kepada pelanggan tetap mereka.

"Ujian saringan air kencing mendapati kesemua negatif penyalahgunaan dadah selain tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau," katanya.

Kesemua suspek katanya, ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!