Perbuatan rasuah dilaknat ALLAH

Khutbah Jumaat bertajuk Rasuah Musuh Negara turut disampaikan di Surau Rafeah, Taman Meru Perdana di sini selain di masjid-masjid di Perak pada Jumaat.
Khutbah Jumaat bertajuk Rasuah Musuh Negara turut disampaikan di Surau Rafeah, Taman Meru Perdana di sini selain di masjid-masjid di Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Pelaku rasuah akan dilaknat oleh ALLAH dan Rasul serta menerima azab di akhirat kelak.

Malah golongan yang melakukan rasuah itu juga dikira sebagai fasiq atau melakukan sesuatu yang menyimpang dari jalan benar dan berdosa besar.

Itu antara intipati teks khutbah Jumaat bertajuk Rasuah Musuh Negara yang dibacakan di masjid dan surau yang mendirikan solat Jumaat di Perak hari ini.

Khutbah tersebut menjelaskan Islam menganggap perbuatan menerima dan memberi rasuah sebagai perbuatan yang jijik malah Saidina Abdullah bin ‘Amr r.a. meriwayatkan hadis bermaksud pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.

Menurut teks tersebut, rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada di tempat sunyi mahupun di tempat yang terang kerana pendinding sebenar perlakuan rasuah adalah takwa dan iman.

"Rasuah adalah penyakit dalam masyarakat. Sehingga kini, usaha membasmi rasuah masih belum menampakkan hasil sepenuhnya, walaupun pelbagai usaha dan kempen dilakukan dari masa ke masa. Sesungguhnya rasuah boleh menghancurkan negara, tidak kira sama ada ia berlaku dalam kalangan pihak atasan sebagai pentadbir mahupun golongan bawahan.

"Setiap yang melakukan rasuah sama ada pemberi, penerima atau yang bersubahat dianggap sebagai perompak harta rakyat. Berdasarkan pemerhatian, semakin besar pangkat seseorang, semakin besarlah peluang untuk terlibat dengan jenayah rasuah dan semakin pintar pula mereka melepaskan diri daripada disabitkan dengan jenayah rasuah," jelas khutbah tersebut pada Jumaat.

Jelasnya, jika bilangan jenayah rasuah itu terus meningkat, ia akan mengancam kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan negara kerana sejarah telah membuktikan terdapat tamadun yang runtuh akibat perbuatan rasuah.

Artikel Berkaitan:

Malah al-Quran juga menukilkan kisah cubaan melakukan rasuah yang dilakukan oleh Puteri Balqis kepada Nabi Sulaiman AS tetapi baginda menolaknya dengan tegas sepertimana dipaparkan oleh ALLAH di dalam surah an-Naml ayat 35 hingga 37.

Dalam pada itu, mimbar turut mengajak jemaah yang hadir supaya mengambil pengajaran daripada sikap berhati-hati yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar Abdul Aziz dalam menerima hadiah kerana kebanyakan manusia kini tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan apa yang diperoleh menguntungkan mereka.

"Kebanyakan manusia ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat utama dalam kehidupan. Rentetan itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat masing-masing.

"Pada zaman ini, masyarakat tidak lagi mengamalkan sifat malu dalam kehidupan seharian mereka, sikap tidak malu inilah punca berlakunya rasuah, pecah amanah, berdusta dan sebagainya. Mereka tidak malu kepada ALLAH dan tidak malu kepada masyarakat untuk membuat dosa dan maksiat," tegas khutbah tersebut.

Sebagai kesimpulan khutbah tersebut, semua individu perlu menolak amalan rasuah untuk memastikan jaminan kesinambungan nasab dan keturunan kekal dalam keadaan suci tanpa dinodai unsur haram yang hanya dapat dibersihkan dengan api neraka ALLAH SWT.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!