Kerajaan perlu gubal polisi inovatif bendung jenayah rasuah

Akhbar Satar
Akhbar Satar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan perlu menggubal polisi-polisi awam yang inovatif untuk membendung pelaku amalan rasuah, sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus berleluasa di Malaysia.

Pemegang kursi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP Universiti, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, pembaharuan polisi dan undang-undang yang lebih baik perlu diadakan bagi memastikan mereka yang terlibat dengan amalan rasuah tidak akan berterusan melakukannya.

Katanya, kes-kes rasuah berprofil tinggi dan jenayah ekonomi yang merangkumi kegiatan penyeludupan yang berleluasa turut memburukkan persepsi bahawa wujud rasuah peringkat tertinggi di dalam sektor awam di negara ini.

“Kegiatan penyeludupan yang teruk seperti pasaran rokok seludup telah menjadi masalah besar di Malaysia disebabkan oleh rasuah. Mereka yang diberi tanggungjawab menguatkuasakan dan menghalang kegiatan penyeludupan telah gagal dan didakwa mengalih pandangan mereka bagi memudahcara para penjenayah,” katanya pada Jumaat.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) cawangan Malaysia itu mengulas laporan Indeks Persepsi Rasuah 2020 (CPI) terbaharu yang menunjukkan Malaysia telah jatuh enam anak tangga, dari ke-51 kepada ke-57, di dalam penarafan global.

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia jatuh ke tangga 57

Beliau yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia berkata, penurunan dari segi penarafan jelas menggambarkan kelemahan kehendak politik dan lemahnya usaha-usaha antirasuah bagi menangani permasalahan ini.

Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau ialah sindiket penyeludupan rokok dan terrorisme adalah saling berkait.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, ekonomi bawah tanah ini adalah ancaman kepada ekonomi dan kedaulatan negara, tambah menyemarakkan rasuah dan menghakis integriti pegawai penguatkuasaan.

“Duit besar yang dijana daripada dagangan rokok seludup kemudiannya diguna bagi membayar lebih ramai orang yang tidak beretika bagi membantu kelancaran jenayah tersebut, dan menghalang pegawai penguat kuasa yang jujur dan berdedikasi daripada membanteras permasalahan penyeludupan rokok secara berkesan.

“Ia adalah satu kitaran ganas yang tiada kesudahan menjerumuskan Malaysia menjadi nombor satu di dunia untuk penjualan rokok seludup,” ujarnya.

Beliau turut memperakui pengumuman Jabatan Kastam Diraja Malaysia baru-baru mengenai rekod rampasan tertinggi yang dicatat pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, di sebalik kerja keras dan kegigihan para pegawai kastam kita, amat jarang kita mendengar pesalah atau sindiket penyeludupan rokok ditangkap, didakwa atau dijatuhkan hukuman,” katanya.

Malah, katanya, di sebalik peningkatan dari segi rampasan, tahap rokok seludup kekal tinggi, jika tidak lebih tinggi sebenarnya, pada 2020.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa Jabatan Kastam Diraja Malaysia mencatat 2,104 kes membabitkan rokok kontraban bernilai RM74.97 juta, membabitkan cukai atau duti sebanyak RM661.90 juta.

Ia merupakan pertambahan 84.41 peratus dari segi bilangan rokok dirampas, peningkatan 83.41 peratus dari segi nilai rokok dirampas dan peningkatan 84.41 peratus dari segi duti dan cukai.

Katanya, untuk membanteras permasalahan rokok seludup ini, kerajaan wajar pertimbangkan untuk menggubal polisi-polisi yang menangani masalah di peringkat akar permasalahan ini.

“Beberapa penggubal undang-undang dan pakar ekonomi telah menyarankan agar diwujudkan polisi khusus supaya diperkenalkan harga rokok yang lebih rendah bagi melawan permintaan ke atas rokok seludup.

“Cadangan itu masuk akal, kerana rakyat terutama golongan miskin, akan membeli produk-produk yang jauh lebih murah tetapi masih memenuhi kehendak mereka, yang mana penjenayah tumpukan dan eksploitasikan,” tambah beliau.

Beliau turut menyarankan organisasi seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia supaya mewujudkan budaya integriti yang lebih mapan.

“Memperkasakan para pegawainya boleh membantu memupuk budaya bertanggungjawab, oleh itu membolehkan amalan terbaik untuk dilaksanakan, menghalang rasuah, meminimumkan risiko dan memacu pematuhan,” jelasnya.

Beliau berkata, polisi-polisi yang ditambah baik dan inovatif yang menutup motif untuk individu atau organisasi daripada terlibat di dalam amalan rasuah boleh memainkan peranan penting di dalam menambah baik Barometer Umum Rasuah Malaysia (GCB) selain penarafan CPI di masa hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!