Nelayan tumpu jeti persendirian elak patuh SOP

Anggota APMM melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot penumpang dalam Ops Iman di sekitar perairan Kuala Kemaman, Kemaman pada Rabu. - Foto Ihsan APMM Zon Maritim Kemaman
Anggota APMM melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot penumpang dalam Ops Iman di sekitar perairan Kuala Kemaman, Kemaman pada Rabu. - Foto Ihsan APMM Zon Maritim Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman membongkar taktik nelayan tempatan mengelak pematuhan operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila memilih jeti persendirian untuk melakukan aktiviti masing-masing.

Pengarahnya, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, taktik itu dikesan sejak PKP fasa satu kerana mahu mengelak pematuhan SOP sekali gus memudahkan pergerakan.

Katanya, jalan tikus di sekitar jeti persendirian juga antara pilihan nelayan yang akan mengambil kesempatan pulang ke rumah tanpa perlu menjalani kuarantin bagi tempoh ditetapkan.

"Jika di Kemaman, biasanya jeti persendirian di sepanjang Sungai Kemaman dan Sungai Kuang menjadi tumpuan sehingga ada pihak silap faham kononnya wujud jeti 'haram'.

"Disebabkan situasi tersebut, kami dengan kerjasama beberapa pihak berwajib turut melaksanakan pemantauan di lokasi dikenal pasti. Rondaan secara berkala di lokasi dijalankan sepanjang pelaksanaan tempoh PKP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas pelaksanaan Op Iman dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kemaman sekitar perairan Kuala Kemaman pada Rabu, beliau berkata, tiga individu dikenakan kompaun kerana gagal mengimbas Kod QR MySejahtera atau mendaftar secara manual dan tidak mengimbas suhu sebelum menggunakan perkhidmatan bot penumpang dan sembilan lagi diberi amaran.

Katanya, operasi yang lebih tertumpu kepada bot-bot penumpang di daerah itu bertujuan memastikan pematuhan SOP terutama dalam kalangan pengusaha bot dan orang ramai selain meningkatkan tahap kesedaran pematuhan SOP ditetapkan.

"Dalam operasi itu, sebuah bot penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Jeti Bandar Kemaman menuju ke kawasan bersauh di Pelabuhan Kemaman ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan, terdapat 12 penumpang tempatan berusia antara 29 hingga 41 tahun di atas bot tersebut dan tiga daripadanya dikesan gagal mencatat butiran diri atau mengimbas kod QR MySejahtera serta tidak mengimbas suhu dan selebihnya didapati gagal memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Tiga individu terbabit diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Kemaman bagi proses pengeluaran kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan sembilan lagi diberikan amaran," katanya.

Katanya, operasi itu akan terus dilaksanakan sentiasa sepanjang tempoh PKP ini bagi membanteras penularan Covid-19 dalam kalangan maritim setempat khususnya di daerah Kemaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!