11 dana PMB Investment catat prestasi cemerlang
SHAH ALAM - PMB Investment Berhad (PMB Investment) yang merupakan ahli kumpulan Pelaburan MARA Berhad mengumumkan 11 daripada 16 dana di bawah pengurusannya merekodkan prestasi cemerlang pada tahun ini.
Dana tersebut terdiri daripada PMB Shariah TNB Employees Fund, PMB Shariah Growth Fund, PMB Shariah Small-Cap Fund, PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD, PMB Shariah Tactical Fund, PMB Dana Bestari, PMB Shariah Index Fund, PMB Shariah Premier Fund, PMB Dana Mutiara Fund, PMB Dana AL-Aiman dan PMB Shariah Aggressive Fund.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim, dana tersebut berada dalam ‘Lipper Investment Management’ bagi kategori unit amanah Ekuiti Malaysia, Ekuiti Pertumbuhan, Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan dan dana Ekuiti Index.
Katanya, PMB Shariah TNB Employees Fund merekodkan prestasi pertumbuhan sebanyak 66.3 peratus bagi tempoh setahun.
“PMB Shariah Growth Fund yang berada di pasaran bagi kategori Ekuiti Pertumbuhan Malaysia mencatat pulangan sebanyak 54.8 peratus bagi prestasi untuk tempoh yang sama.
“PMB Shariah Small-Cap Fund pula mencatat pulangan sebanyak 37.1 peratus setahun bagi kategori Ekuiti Pertumbuhan Malaysia,” katanya ketika pengumuman prestasi 11 dana terbaik PMB Investment di ibu pejabat PMB Investment pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Pelaburan MARA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Isnami A. Mohtar.
Dalam pada itu, Mahani berkata, PMB Investment turut merekodkan kedudukan cemerlang dalam kategori Ekuiti Pertumbuhan.
“Ia melalui PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD yang merekodkan pulangan sebanyak 35.3 peratus bagi tempoh setahun berakhir pada 31 Disember lalu.
“PMB Shariah Tactical Fund pula merekodkan pulangan sebanyak 27.7 peratus, manakala PMB Dana Bestari sebanyak 26.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan PMB Shariah Index Fund juga berjaya melepasi penanda aras FBM Emas Syariah dalam kategori Ekuiti Syariah Indeks Malaysia apabila mencatatkan prestasi pulangan berjumlah 24.9 peratus bagi tempoh yang sama.
“PMB Shariah Premier Fund merekodkan pertumbuhan sebanyak 17.7 peratus.
“Bagi kategori Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan Malaysia pula, PMB Dana Mutiara Fund merekodkan pulangan sebanyak 13.4 peratus, PMB Dana AL-Aiman sebanyak 12.4 peratus dan PMB Shariah Aggressive Fund sebanyak 11.7 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Mahani turut memberitahu syarikat bakal melancarkan dua dana baharu pada tahun ini iaitu dana unit amanah berkaitan wakaf dan dana unit amanah global.
Beliau berkata, kedua-dua dana tersebut akan ditawarkan kepada pelabur selewat-lewatnya pada penghujung suku pertama dan suku ketiga tahun ini.
“Dana wakaf ini memberi peluang kepada para pelabur untuk peroleh keuntungan menerusi pelaburan selain beramal jariah.
“Ia adalah hasil kerjasama PMB Investment dengan salah sebuah entiti pengurusan wakaf terbesar negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!