Reben merah jadi simbol protes kudeta di Myanmar

Kumpulan pengajar menunjukkan simbol hormat tiga jari dan reben merah ketika membantah rampasan kuasa di Dagon University di Yangon pada Jumaat. - Foto: AFP
Kumpulan pengajar menunjukkan simbol hormat tiga jari dan reben merah ketika membantah rampasan kuasa di Dagon University di Yangon pada Jumaat. - Foto: AFP
A
A
A

NAYPYIDAW - Kira-kira 200 pengajar dan pelajar mengadakan protes di Dagon University di Myanmar pada Jumaat sebagai membantah tindakan Angkatan Tentera Myanmar atau Tatmadaw yang menyasarkan pegawai kerajaan yang digulingkan dalam rampasan kuasa pada awal minggu lalu.

Demonstrasi yang turut menggunakan simbol reben merah dan hormat tiga jari seperti gerakan prodemokrasi di Thailand itu diadakan selepas penahanan, Win Htein, yang merupakan pembantu utama pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi.

“Sebagai rakyat, saya tidak dapat menerima tindakan rampasan kuasa ini. Kita harus menentang kediktatoran ini,” kata pensyarah, Win Win Maw.

Kumpulan itu turut berarak di sekitar kampus terbabit sambil melaungkan slogan ‘panjang umur ibu Suu’ dan membawa bendera merah mewakili bendera parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD).

“Kami tidak akan membiarkan generasi kita menderita di bawah pemerintahan diktator tentera seperti ini,” kata pelajar, Min Sithu.

Htein, 79, yang digelar sebagai ‘orang kuat’ NLD pernah ditahan sebelum ini kerana melancarkan kempen untuk menentang pemerintahan junta tentera.

Beliau menyifatkan rampasan kuasa itu sebagai tindakan yang kurang bijak dan menggesa rakyat menentang perbuatan itu secara habis-habisan.

Difahamkan, puluhan kakitangan beberapa kementerian di Naypyidaw turut mengambil gambar bersama sambil memakai reben merah dan menunjukkan simbol demokrasi.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Majlis Keselamatan PBB menggesa pembebasan Suu Kyi dan pemimpin lain yang ditahan bersamanya serta menyuarakan kebimbangan terhadap situasi di Myanmar, namun tidak mengutuk insiden rampasan kuasa tersebut yang hanya menyaksikan pemerintahan demokrasi dapat bertahan selama sedekad.

Data Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) menunjukkan kira-kira 147 individu termasuk aktivis, ahli Parlimen dan pegawai kerajaan telah ditahan manakala Suu Kyi kali terakhir tampil di khalayak umum adalah pada Isnin lalu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!