Ekor beruk sukar diluruskan

A
A
A

KELMARIN, dalam Sinar Harian, kita dibongkarkan lagi dengan isu gunung yang ditarah sampai botak.

Keindahan 30 gua batu kapur yang dikatakan berusia 330 juta tahun di lembah Kinta Perak kini terancam.

Isu yang memang sudah dibangkitkan berulang-ulang menyebabkan kita tertanya-tanya apakah kesudahannya.

Seolah-olah laporan pembongkaran tidak dipandang mustahak.

Sedih apabila mengenangkan anak cucu kita nanti entah sempat atau tidak melihat hutan, gunung atau binatang liar.

Mungkin mereka tidak lagi kenal binatang seperti tapir selepas ini.

Mereka yang melaporkan isu-isu tersebut seolah-olah seperti merak mengigal di hutan. Ibarat bercakap kepada orang-orang yang bebal.

Yang sedihnya, orang-orang yang bebal itu mempunyai kuasa.

Artikel Berkaitan:

Isu begitu bukan berlaku sehari dua. Tidak akan terjadi sebegitu teruk jika baru berlaku sehari dua ini tetapi telah lama berlaku, namun tidak ada yang menyedarinya atau mungkin buat-buat buta sahaja.

Dan mereka yang bebal itu ibarat karam sambal oleh belacan. Ruginya kepada rakyat jelata kerana memberi kepercayaan orang-orang yang begitu, mempunyai kuasa namun seperti paku.

Hutan dan gunung adalah warisan anak cucu kita di kemudian hari untuk dinikmati dan diambil pelajaran warisan semula jadi itu.

Apabila semuanya hilang disebabkan kerakusan tidak terkawal, maka akan muncul bencana yang pastinya terkesan kepada rakyat sekitarnya.

Gunung-gunung merupakan pasak bumi. Apabila tidak dijaga dan ditarah, maka rosaklah ekosistemnya.

Persoalannya, apakah ulasan pakar seperti pakar geologi atau Jabatan Alam Sekitar sebelum projek itu dilakukan?

Setiap projek atau cadangan akan diminta ulasan untuk memastikan projek dapat diteruskan atau diberi kebenaran untuk merancang. Jika projek itu tidak boleh dilakukan, adakah akan dipaksa untuk boleh dilaksanakan juga?

Namun, disebabkan hendak melaksanakannya dengan alasan untuk rakyat kononnya, maka dikaji juga supaya boleh ‘dipaksa’ laksanakan dan perbelanjaannya akan meningkat disebabkan kaedah baharu atau lebih moden digunakan.

Tetapi hingga tahap mana perlu melakukannya? Apakah ada batasnya?

Al-Quran ada menyebut tentang fungsi gunung seperti surah An-Naba ayat 6 hingga 7, surah Lokman ayat 10 dan surah Fatir ayat 27 yang menerangkan tentang bentuk fizikal gunung dan mungkin ada lagi surah yang belum saya telusuri.

Ah, mungkin al-Quran itu sekadar dibaca dan tidak diambil untuk difikirkan. Jika tidak, masakan akan berlakunya perilaku yang melampaui batas.

Mungkin Islam kita dibalut kulit sahaja. Apabila melihat duit, kulit kita pun tertanggal juga akhirnya.

Al-Quran dan ilmu geologi ada menceritakan tentang pergerakan gunung. Ia memainkan peranan penting mengawal kesejahteraan muka bumi.

Lihatlah surah al-Anbiya ayat 31 sebagai pedoman untuk kita yang percayakan kalam Tuhan.

Ah, sekali lagi berapa banyak pun kita menelaah al-Quran dan berapa banyak pun bukti malapetaka yang berlaku di muka bumi disebabkan kerakusan manusia yang tamak itu, kita masih menafikan juga.

Sekali lagi saya tertanya tanya apakah kesudahannya nanti? Adakah apabila sudah habis gunung ditarah, manusia yang bebal itu masih belum puas? Seperti biasa, kita hanya mampu bercakap.

Mereka tidak menghiraukan apa-apa. Sekali lagi saya suakan surah al-Rum ayat 41 untuk tatapan minda yang rakus agar mereka insaf dan sedar.

Ah, mungkin mereka akan membacanya tanpa rasa apa-apa.

Banjir setiap tahun yang berlaku dikatakan sebagai bencana alam semula jadi sahaja walaupun kerosakan disebabkan tangan-tangan manusia yang tamak haloba.

Dan kita rakyat jelata dan pertubuhan-pertubuhan yang prihatin, ibarat anjing menyalak bukit sahaja kerana mereka-mereka ini seperti beruk yang sukar hendak diluruskan ekornya.

* Faizal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.

Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!