Wanita warga Indonesia maut lintas jalan

Kemalangan maut melibatkan seorang wanita warga Indonesia di Pasir Hor, Kota Bharu awal pagi Jumaat. - Foto ihsan pembaca
Kemalangan maut melibatkan seorang wanita warga Indonesia di Pasir Hor, Kota Bharu awal pagi Jumaat. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang wanita yang juga buruh warga Indonesia maut apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya semasa mahu melintas jalan di Jalan Pasir Hor, di sini pagi Jumaat.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Lia Ernani berusia 45 tahun dipercayai berada di atas konkrit pembahagi jalan bersama dua wanita lain yang juga mahu melintas jalan pada waktu yang sama.

Dua wanita tersebut iaitu pesara kerani berusia 64 tahun dan suri rumah, 65 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan dipercayai mahu pulang ke rumah selepas menghadiri kelas mengaji al-Quran.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memberitahu, salah seorang daripada dua wanita yang terselamat turut membawa sebuah basikal semasa melintas jalan tersebut.

“Semasa kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dari arah Pasir Hor menghala ke Kubang Kerian dan apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas lalu mengakibatkan kemalangan.

“Ketika itu ketiga-tiga mangsa berada di atas pembahagi jalan konkrit untuk melintas jalan. Akibat kemalangan itu, buruh wanita tersebut maut di lokasi kejadian manakala dua lagi yang lain mengalami kecederaan dan sedang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.

Menurutnya, pemandu terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan kini ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut. Hasil ujian awal mendapati pemandu tersebut positif methamphetamine.

"Mayat mangsa akan dibedah siasat di HUSM, Kubang Kerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!